Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

MB Selangor Arah Exco Betulkan Kenyataan Berhubung Isu Kuil

SHAH ALAM, 26 Nov (Bernama) — Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ​​​​​​tidak menolak kemungkinan terdapat kesilapan bahasa dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau berhubung dakwaan terdapat sekumpulan orang Islam terlibat dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini, awal pagi ini.

Amirudin berkata pihaknya mengarahkan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin itu untuk membetulkan kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya.

“Saya sudah bagi kenyataan, jangan ada pihak keluarkan kenyataan yang mengguris hati sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan rakyat.

“Hal ini biar kita serahkan kepercayaan sepenuhnya kepada polis supaya mereka dapat menyiasat motif sebenar mengapa kejadian ini berlaku,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Ganabatirau, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Kemuning, menerusi laman sosial Facebook pagi ini didakwa memuatnaik kenyataan kononnya terdapat sekumpulan orang Islam terlibat dalam insiden itu sebagai cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum di negara ini.

Semakan dalam akaun Facebook Ganabatirau mendapati kenyataan itu sudah dikemas kini selepas menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk netizen yang menyifatkan kenyataan itu sebagai rasis.

Dalam status yang dimuat naik enam jam lepas, Ganabatirau antara lain mengutuk tindakan sekumpulan orang menceroboh masuk ke dalam kuil dan menyerang orang awam di dalam kuil.

( I outrightly condemn this cowardly action by a group of intruders who doesn’t have any authority to enter the temple with dangerous weapons and attacked the civilians in the temple.)

Setakat tengah hari ini, tujuh lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan polis berhubung kekecohan yang dikatakan berpunca daripada perselisihan antara dua kumpulan hingga menyebabkan 18 kereta pelbagai jenis dan dua motosikal terbakar.

Sumber  : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.