Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hukuman Sebat Sivil Kekal – Hanipa

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Kerajaan tidak akan memansuhkan hukuman sebat dalam undang-undang sivil kerana masih ada keperluan untuk disabitkan terhadap kesalahan serius termasuk jenayah kekerasan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata walaubagaimanapun hukuman sebat itu juga boleh diubah oleh mahkamah berdasarkan perkiraan tertentu termasuk tidak memudaratkan pesalah.

“Setakat ini belum ada keputusan kerajaan untuk mansuh hukuman sebatan sebab hukuman ini telah lama ada dalam negara kita walaupun saya akui memang ada kesan ‘deterrent’ dia…dan kita mungkin agak berbeza pendapat kerana hukuman ini menyakitkan tetapi hukuman sebatan ini universal boleh diterima, ada dalam agama dan luar skop agama.

“Malah undang-undang sekarang wajib ada pegawai perubatan ketika sebatan dilakukan dan pesalah masih mempunyai ruang untuk hukuman itu ditukar (oleh mahkamah), sebab itu bagi saya hukuman sebatan ini kerajaan rasa masih perlu dilaksanakan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang ingin tahu pandangan kerajaan untuk menghapuskan hukuman sebatan secara total dan digantikan kepada melanjutkan hukuman penjara yang dianggap lebih manfaat dalam menginsafkan pesalah.

Bagaimanapun katanya kerajaan sentiasa terbuka menerima pendapat bersesuaian daripada orang ramai terhadap pemansuhan hukuman itu.

Menjawab soalan asal Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang ingin tahu adakah kerajaan berhasrat untuk menilai semula pelaksanaan sebatan sivil yang dilihat tidak berperikemanusiaan, Mohamed Hanipa berkata kerajaan masih tetap menggunakan hukuman sebatan itu yang kini lebih ringan berbanding sebelum ini.

Katanya, kaedah sebat ‘cat o’ nine tails’ telah dihapuskan pada 1993 kerana menyebabkan luka merebak ketempat lain.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.