Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hubungan Malaysia-AS Dijangka Terkesan, Rantaian Perdagangan Terganggu Susulan Tarif Baharu

Hannah
hubungan malaysia as terkesan
Gambar: BERNAMA

Hubungan Malaysia-AS Dijangka Terkesan, Rantaian Perdagangan Terganggu Susulan Tarif Baharu

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama-Xinhua) — Hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dijangka terkesan susulan keputusan pentadbiran AS mengenakan tarif 25 peratus ke atas eksport Malaysia, menurut penganalisis, lapor Xinhua.

Mereka berkata Malaysia mempunyai pengaruh terhad terhadap keputusan unilateral AS itu, dan menggesa negara ini memperkukuh hubungan dengan rakan dagang utama lain serta membina daya tahan ekonomi bagi menghadapi gangguan luaran, memandangkan tarif dan dasar lain yang mengganggu dijangka berterusan dalam jangka panjang.

Ahli ekonomi, Samirul Ariff Othman memberitahu Xinhua bahawa walaupun Malaysia mengelak daripada tindakan balas secara emosi, provokasi berterusan atau tekanan ekonomi selanjutnya mungkin memaksa kerajaan mengambil pendirian lebih tegas.

“Diplomasi senyap ada hadnya. Jika AS terus berkeras, Malaysia perlu menyusun semula penjajaran strategiknya,” katanya.

Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Yin Shao Loong berkata tarif itu dilihat berpunca daripada kegagalan pentadbiran AS memenuhi tarikh akhir rundingan tarif mereka sendiri, dan rundingan dijangka akan diteruskan sebelum mencapai kemajuan akhirnya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata pusingan tarif terbaharu itu berisiko mengganggu hubungan perniagaan dan rantaian bekalan, dengan maklum balas daripada pengilang semasa pelaksanaan awal tarif 10 peratus sebelum ini menunjukkan kebimbangan serius terhadap kemampanan operasi eksport.

“Peningkatan terkini ini berisiko menggugat landskap industri yang sudah rapuh, memberi kesan buruk kepada daya saing eksport dan meletakkan tekanan tambahan kepada pengilang,” katanya.

Soh berkata walaupun eksport strategik seperti semikonduktor dikecualikan, ekosistem yang menyokong industri semikonduktor termasuk alat ganti, jentera dan perkhidmatan masih terdedah kepada gangguan.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), sebuah kumpulan pemikir Malaysia, mengingatkan kerajaan agar berhati-hati dalam menerima terma dikenakan AS yang akan memudaratkan kepentingan strategik jangka panjang Malaysia, selain menekankan keperluan pertahanan bersama oleh ASEAN terhadap dasar yang mengganggu.

“Keputusan yang mengecewakan daripada rundingan dua hala untuk Malaysia dan negara lain mengukuhkan keperluan tindakan kolektif bagi menentang strategi pecah dan perintah Washington. Kita tidak boleh membiarkan penglibatan yang berpecah melemahkan kedudukan ASEAN di pentas global,” menurut kenyataan itu.

“Malaysia mesti terus mengelak daripada terperangkap dalam kitaran sekatan dagangan balas atau pilihan palsu antara kuasa besar, sebaliknya terus mempelbagaikan dan memperkukuh kerjasama dengan negara yang berkongsi kepentingan dalam perdagangan terbuka dan saling memanfaatkan,” katanya.

BACA: Amerika Syarikat Kenakan Tarif 25 Peratus Ke Atas Semua Produk Malaysia

Sumber: BERNAMA