Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Goethe-Institut Malaysia Hidupkan Legenda Langkawi Menerusi Seni Pengekodan Langsung, Perkukuhkan Hubungan Budaya Jerman-Malaysia

Goethe-Institut Malaysia

Penggiat seni dari Berlin, Asia Tenggara dan Malaysia menghidupkan semula kisah Sang Gedembai menerusi gabungan bunyi elektronik, pencahayaan imersif dan pengekodan secara langsung. Persembahan ini merupakan antara inisiatif kebudayaan Goethe-Institut, yang membuka ruang kerjasama kreatif antara komuniti seni di kedua-dua negara.

Iklan

KUALA LUMPUR 17 NOVEMBER 2026 – Bayangkan jika hanya dengan satu suara, segala yang bernyawa mampu bertukar menjadi batu. Idea inilah yang mencetuskan The Living Code: Whispers of Stone, sebuah persembahan yang menghidupkan semula legenda Sang Gedembai dari Pulau Langkawi melalui gabungan visual pengekodan secara langsung (live coding), bunyi elektronik dan pencahayaan imersif. Dipersembahkan oleh Goethe-Institut Malaysia dengan kerjasama kolektif kreatif KUANTUM I.O, festival ini berlangsung baru-baru ini di Yan Keng Benevolent Dramatic Association, Kuala Lumpur, dan dihadiri lebih dari 200 tetamu.

Menghimpunkan perspektif tempatan dan antarabangsa, persembahan ini menampilkan penggiat seni dari Berlin, Flor de Fuego dan Alexandra Cárdenas, bersama penggiat seni dari Asia Tenggara dan Malaysia. Mereka mentafsir semula kisah rakyat Sang Gedembai, sekali gus memperlihatkan bagaimana kisah yang diwarisi secara lisan dapat diperkenalkan kepada khalayak baharu menerusi teknologi. Festival yang berlangsung selama dua hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kebudayaan serantau Goethe-Institut Malaysia, yang membuka peluang kepada pertukaran budaya serta memperkukuh hubungan antara komuniti kreatif Jerman, Asia Tenggara dan Malaysia.

Program ini turut menampilkan Inmintcondition (Bangkok), Deep Space, Tsameera, Acidllama, Maria Aristya (Bali), Olof van Winden (Negara Belanda), Mawiewowie dan Modulus. Daripada pengekodan secara langsung dan eksperimen audiovisual hinggalah persembahan tradisional serta sesi perkongsian, acara ini menyediakan platform untuk mempertemukan pelbagai disiplin seni, amalan budaya dan perspektif kreatif.

“Ramai yang mengenali Goethe-Institut Malaysia sebagai pusat pembelajaran bahasa Jerman, dan itu sememangnya kekal sebagai fokus utama kami. Namun, kami juga memainkan peranan sebagai ruang pertemuan budaya dan pertukaran idea kreatif. The Living Code: Whispers of Stone telah menghimpunkan penggiat seni dari Berlin, Asia Tenggara dan Malaysia untuk meneroka sebuah kisah yang telah diwarisi turun-temurun dalam kalangan masyarakat Malaysia. Persembahan ini memperlihatkan hasil yang dapat dicapai melalui kerjasama kreatif antara pelbagai komuniti. Kami akan terus memperluaskan lagi peluang seperti ini untuk mengeratkan hubungan antara komuniti kreatif Jerman dan Malaysia,” kata Dr. Ingo Schöningh, Pengarah Goethe-Institut Malaysia.

“Berinspirasikan kisah rakyat Malaysia, Sang Gedembai, The Living Code meneroka bagaimana teknologi pengekodan secara langsung boleh digunakan untuk menghidupkan semula kisah tradisional melalui gabungan kod, bunyi dan imej bergerak. Dengan membawa warisan budaya kita ke dalam dunia digital, pendekatan ini menunjukkan bagaimana teknologi mampu memastikan kisah-kisah tersebut terus hidup dan kekal relevan untuk generasi akan datang,” kata Mathews Ambrose, Kurator Projek The Living Code

Bagi Goethe-Institut Malaysia, persembahan ini turut mengetengahkan persoalan tentang bagaimana warisan budaya dapat dihayati pada masa kini. Dengan memberi peluang kepada penggiat seni daripada pelbagai disiplin dan negara untuk mentafsir semula sebuah legenda tempatan, persembahan ini menjemput penonton melihat kisah yang sudah dikenali daripada sudut pandangan yang berbeza.

Bagi meneruskan pengalaman The Living Code: Whispers of Stone di luar persembahan utama, KUANTUM I.O turut menganjurkan Bengkel Pengekodan Secara Langsung di GMBB pada 15 November 2026. Bengkel ini dianjurkan bersama The Malaysia Electroacoustic Music Lab Society (MEMLab), organisasi komuniti pertama di Asia Tenggara yang memberi tumpuan khusus kepada penerokaan, penghasilan dan promosi antarabangsa muzik elektroakustik serta seni bunyi, dengan kerjasama Goethe-Institut Malaysia. Menampilkan Flor de Fuego dan Alexandra Cárdenas, bengkel ini turut disertai seramai 30 orang, dan mereka diberi peluang untuk mencuba teknik pengekodan secara langsung serta meneroka bagaimana kod komputer boleh menghasilkan bunyi, irama dan visual bergerak.

Dalam masa terdekat, Goethe-Institut Malaysia bakal menganjurkan Pesta Filem Jerman KinoFest 2026 di Pulau Pinang dari 20 hingga 22 November serta Festival Filem Sains yang berlangsung hingga 20 Disember. Pelbagai projek kebudayaan dan kerjasama lain turut dirancang untuk tahun 2027. Menerusi inisiatif ini, Goethe-Institut Malaysia akan terus menghubungkan penggiat seni, profesional kreatif dan penonton tempatan dari dalam dan luar negara, merentasi disiplin serta sempadan budaya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program kebudayaan dan aktiviti akan datang anjuran Goethe-Institut Malaysia, sila layari www.goethe.de/malaysia atau ikuti Goethe-Institut Malaysia menerusi saluran media sosial rasminya.