Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Keuntungan Syarikat Minyak Gergasi Amerika Melonjak Susulan Perang AS-Iran

Keuntungan Syarikat Minyak Gergasi Amerika Melonjak
Gambar: AFP

Beberapa syarikat minyak gergasi Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat melaporkan satu lagi suku keuntungan yang melonjak, didorong kenaikan harga minyak dan margin penapisan susulan perang AS-Iran.

Keuntungan ExxonMobil bagi tempoh berkenaan mencecah AS$15.4 bilion, sedikit melebihi dua kali ganda berbanding AS$7.5 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya. Chevron pula mencatat keuntungan AS$9.9 bilion, berbanding AS$3.5 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Lonjakan keuntungan syarikat petroleum AS itu menyusuli peningkatan serupa yang dicatatkan syarikat Eropah ketika perang AS-Iran terus berlarutan.

Menurut AFP, kesan paling ketara berlaku dalam sektor penapisan, apabila margin keuntungan daripada pemprosesan minyak mentah menjadi petrol, diesel dan produk petroleum lain meningkat mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Bagi ExxonMobil, harga minyak secara purata berada sekitar AS$85 setong sepanjang tempoh berkenaan, kira-kira satu pertiga lebih tinggi berbanding suku sama pada 2025.

Margin penapisan pula mencapai AS$50.30 setong, hampir tiga kali ganda paras pada tempoh sama tahun sebelumnya. Syarikat itu turut menyatakan usahanya meningkatkan pengeluaran diesel dan produk utama lain yang mengalami penyusutan bekalan.

“Kapasiti penapisan di Rusia dan Asia Barat kekal terhad, dengan kira-kira 10 peratus kapasiti global tidak beroperasi.

“Loji penapisan di Amerika Utara mengekalkan kadar operasi yang tinggi sepanjang suku berkenaan, namun tidak dapat mengimbangi sepenuhnya pengurangan kapasiti penapisan global yang tersedia,” menurut kenyataan syarikat itu.

ExxonMobil dalam siaran medianya juga memaklumkan usaha meningkatkan pengeluaran menyaksikan kadar penggunaan unit pemprosesan minyak mentah di loji penapisannya di Pantai Teluk AS mencapai 100 peratus.

Manakala, Chevron mencatat keuntungan lebih tinggi dalam perniagaan huluannya, namun peningkatan terbesar diraih dalam segmen hiliran, dengan keuntungan AS$4.9 bilion, lebih empat kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertubuhan bukan kerajaan 350.org, yang memperjuangkan tenaga bersih serta langkah menangani perubahan iklim, menggesa pengenalan “levi kekal” terhadap keuntungan “luar biasa” industri minyak.

Hasil kutipan itu dicadangkan disalurkan kepada pengguna dan digunakan untuk membiayai peralihan tenaga.

“Menjelang pilihan raya pertengahan penggal, kemampuan menanggung kos tenaga menjadi perhatian semua.

“Keluarga dan perniagaan kecil mahukan bekalan elektrik yang boleh dipercayai pada harga mampu bayar, manakala masyarakat mahu diberikan suara dalam menentukan bagaimana sumber tanah, air dan tenaga mereka digunakan.

“Namun, ketika orang ramai bergelut dengan bil tenaga dan kesan cuaca ekstrem, syarikat minyak terbesar dijangka meraih keuntungan berbilion dolar,” kata Pengurus Kempen AS bagi 350.org, Candice Forten.

Forten menggesa pelaksanaan dasar bagi memastikan pusat data kecerdasan buatan tidak menyebabkan bil elektrik meningkat. Beliau turut menyeru supaya syarikat minyak “membayar bahagian yang sewajarnya bagi menampung kos krisis ini, bukannya membiarkan orang ramai menanggungnya”.

Saham ExxonMobil meningkat 2.0 peratus dalam dagangan prapasaran, manakala Chevron naik 1.7 peratus.

Dalam pada itu, kenaikan harga yang mendadak dan kekurangan bekalan dalam sesetengah keadaan ini telah mencetuskan protes di beberapa kawasan di Asia, Amerika Latin dan Eropah.

Di AS misalnya, Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump berdepan ujian getir dalam pilihan raya pertengahan penggal minggu depan, ketika harga petrol dan diesel yang tinggi menjejaskan sentimen pengguna.

Sumber:AFP
Intipati
  • ExxonMobil mencatat keuntungan AS$15.4 bilion, lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama sebelumnya.
  • Chevron meraih AS$9.9 bilion, dengan lonjakan terbesar datang daripada segmen hiliran syarikat.
  • 350.org menggesa levi kekal terhadap keuntungan luar biasa industri minyak untuk membantu pengguna.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan