Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sebanyak AS$20 juta (RM81.2 juta) serta kemungkinan penempatan semula kepada individu yang memberikan maklumat mengenai program nuklear Iran.
Pengumuman itu dibuat ketika Presiden AS, Donald Trump sekali lagi menegaskan bahawa Tehran mahu mencapai perjanjian bagi menamatkan peperangan.
Program Ganjaran untuk Keadilan (Rewards for Justice) itu dilaksanakan di bawah Jabatan Negara AS.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) menerusi platform X.
Program berkenaan sebenarnya ditubuhkan pada 1984 bagi menawarkan wang sebagai balasan kepada maklumat yang dapat melindungi nyawa dan kepentingan rakyat Amerika.
Dalam kenyataan berhubung tawaran ganjaran itu, Jabatan Negara AS berkata kegagalan Iran mematuhi kewajipan perlindungan yang ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyebabkan agensi berkenaan kehilangan keupayaan untuk memantau secara berterusan pengeluaran dan inventori komponen penting seperti mesin emparan.
Bagaimanapun, jabatan itu tidak memperincikan kriteria khusus mengenai jenis maklumat yang melayakkan seseorang menerima ganjaran AS$20 juta tersebut.
Trump sebelum ini berulang kali mendakwa bahawa tentera AS telah berjaya memusnahkan sebahagian besar program nuklear Iran.
“Jika kita tidak menyerang Iran, Israel mungkin sudah tidak wujud hari ini.
“Jika mereka memiliki senjata nuklear, mereka pasti akan menggunakannya. Mereka akan memusnahkan seluruh Asia Barat,” kata Trump pada malam Jumaat di West Palm Beach, Florida.
Bagaimanapun, Trump turut mendakwa Iran yang menurutnya mengalami kerosakan teruk terhadap ekonomi dan kekuatan ketenteraan sepanjang lapan bulan peperangan, kini berhasrat untuk menamatkan konflik tersebut.
“Kami sedang berurusan dengan mereka sekarang. Mereka benar-benar mahu mencapai perjanjian,” katanya.
Sementara itu, usaha diplomatik oleh pihak pengantara sedang giat dijalankan bagi mengelakkan sebarang pertempuran kembali tercetus.
Pada Selasa, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata kerajaannya masih berusaha menyelesaikan krisis berkenaan melalui dialog.
Terdahulu minggu ini, Trump berkata beliau masih perlu menangani satu atau dua lagi sasaran, termasuk lokasi yang dikenali sebagai Pickaxe Mountain di tengah Iran.
Lokasi berkenaan disyaki merupakan tapak nuklear, namun Tehran menafikan dakwaan tersebut.
