Pihak berkuasa mengisytiharkan situasi kecemasan di sebuah tapak nuklear besar milik Jabatan Tenaga Amerika Syarikat di Carolina Selatan selepas kebakaran di sebuah makmal mengakibatkan seorang pekerja mengalami kecederaan ringan.
Menurut Jabatan Tenaga, pihak pengurusan Tapak Savannah River (SRS) mengaktifkan prosedur kecemasan pada jam 5.39 petang Rabu selepas kebakaran berlaku di Makmal Kebangsaan Savannah River berhampiran Aiken, Carolina Selatan.
Keadaan kembali terkawal pada jam 9.45 malam selepas api berjaya dipadamkan dan pemeriksaan mendapati tiada pencemaran radioaktif dikesan, menurut notis terkini SRS.
Seorang jurucakap Jabatan Tenaga memaklumkan bahawa seorang pekerja dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan ringan.
“Tiada pencemaran radiologi dilaporkan,” katanya.
Tapak Nuklear AS Isytihar Kecemasan

Susulan itu, pihak berkuasa kemudian menarik balik semua langkah perlindungan yang dikuatkuasakan dan membuka semula kawasan yang sebelum ini ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
“Buat masa ini, tiada insiden operasi yang memerlukan tindakan kecemasan atau kelewatan berjadual di Tapak Savannah River,” menurut kemas kini notis SRS.
Pekerja yang dijadualkan memulakan syif diarahkan hadir seperti biasa, manakala kakitangan lain diminta kembali bertugas mengikut jadual pada Khamis, 29 Oktober.
Pekerja syif yang sebelum ini diarahkan berlindung di lokasi masing-masing turut dibenarkan menyambung tugas seperti biasa.
Menurut SRS, Lebuh Raya 125 kekal dibuka selepas kejadian, manakala trafik di pintu masuk tapak kembali lancar selepas sekatan sementara ditarik balik.
Sebelum itu, pihak pengurusan turut mengehadkan pergerakan kereta api, pengangkutan sungai dan trafik udara di sekitar kawasan berkenaan.
Pihak SRS terus menyelaras tindakan susulan dan memaklumkan kejadian tersebut kepada agensi kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.
Penduduk setempat sebelum ini dinasihatkan mengikuti perkembangan melalui stesen radio dan televisyen tempatan serta mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri.
Menurut laman web SRS, kemudahan itu merupakan antara tapak utama dalam kompleks persenjataan Amerika Syarikat yang menyokong misi pencegahan strategik ketenteraan negara itu selama lebih 75 tahun.
Jabatan Tenaga menjelaskan bahawa tapak berkenaan mengendalikan bahan nuklear dan sisa radioaktif, selain menjalankan kerja pembersihan bagi melindungi alam sekitar di kawasan sekitarnya.
“Selain menjadi antara komponen terpenting dalam kompleks persenjataan negara, tapak ini juga merupakan salah satu kawasan perindustrian utama paling selamat di dunia.
“Memastikan keselamatan negara serta melindungi pekerja, orang awam dan alam sekitar merupakan matlamat utama kami,” menurut kenyataan di laman web SRS.
Kemudahan itu dibina pada 1950-an dengan lima reaktor didirikan bagi menghasilkan bahan untuk senjata nuklear, khususnya tritium dan plutonium-239.
Beberapa kemudahan sokongan turut dibina, termasuk dua loji pemisahan kimia bagi menyokong operasi di tapak tersebut.

