Setiausaha Perang Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth nantikan kunjungan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Khaled Nordin ke ibu pejabat Jabatan Pertahanan AS, Pentagon pada tahun hadapan.
Menerusi satu hantaran, Hegseth berkata kunjungan itu bertujuan memperkukuh kesalingoperasian serta memperluas kerjasama pertahanan antara jabatannya dengan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).
Khaled bertemu Hegseth ketika menghadiri Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-AS di Cebu, Filipina, semalam, sebagai sebahagian daripada rangka mesyuarat ADMM ke-20 dan ADMM-Plus ke-13.

Dalam hantaran berasingan, Khaled berkata beliau menyambut baik komitmen AS untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan dengan ASEAN, khususnya dalam menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan dan kepusatan ASEAN mesti terus menjadi asas kerjasama serantau.
“ASEAN perlu kekal bebas menentukan hala tujunya sendiri, tanpa terikat kepada persaingan mana-mana kuasa besar,” katanya.
Khaled turut mengalu-alukan inisiatif Kerangka Kerjasama Pertahanan ASEAN-AS yang akan dimulakan pada 2027, dengan harapan usaha itu dapat memperkukuh keupayaan ASEAN sebagai satu kesatuan.
Setiausaha Perang AS Nantikan Kunjungan Khaled Nordin Ke Pentagon

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan AS dan semua rakan dialog berasaskan kepentingan bersama, saling menghormati serta komitmen terhadap keamanan dan kestabilan rantau ini,” ujarnya.

