Presiden Bolivia, Rodrigo Paz mengisytiharkan darurat pada Sabtu (31 Oktober) bagi membolehkan sumber tambahan disalurkan menangani kesan fenomena cuaca El Nino.
Keputusan itu turut membabitkan penambahan pasukan penyelamat di kawasan terjejas teruk ketika Bolivia berdepan banjir dan kemarau akibat fenomena tersebut.
“Fenomena ini dijangka membawa kesan sangat serius dari segi kemarau dan banjir, justeru kerjasama semua institusi amat diperlukan,” katanya dalam ucapan kepada rakyat.
Bolivia Isytihar Darurat

Menurut laporan kerajaan minggu ini, kemarau menjejaskan 78,000 keluarga di enam daripada sembilan wilayah pentadbiran negara itu.
Keadaan berkenaan turut menyebabkan lebih 75,000 ekor lembu mati akibat kekurangan sumber air dan makanan.
El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa.
Fenomena itu boleh mengubah corak angin, tekanan udara serta taburan hujan sehingga mencetuskan perubahan cuaca di seluruh dunia.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran minggu ini bahawa El Nino kali ini berpotensi mencapai kekuatan luar biasa.
Keadaan itu dijangka membawa kesan buruk kepada Amerika Latin, Afrika Timur dan Selatan, Asia serta rantau Pasifik.
Negara jiran Bolivia, Peru turut mengalami peningkatan suhu dan kebakaran hutan yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 12 nyawa.
Sementara itu, Santiago yang merupakan ibu negara Chile mencatatkan Oktober paling basah pernah direkodkan dalam sejarah negara berkenaan.

