FamilyMart Malaysia tampil dengan konsep baharu yang diperkenalkan sempena sambutan ulang tahun ke-10 operasinya di negara ini.
Menerusi konsep Life is Good with FamilyMart, kedai serbaneka itu tampil dengan pelbagai pembaharuan termasuk pilihan makanan dan minuman, koleksi eksklusif dari Jepun serta promosi dan ganjaran menarik buat pelanggan.
Konsep yang diperkenalkan pada 5 November itu berteraskan tiga tunjang utama, iaitu Good Choices, Good Quality dan Good Moments, sekali gus menandakan permulaan dekad kedua FamilyMart di Malaysia.
Ia dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif QL Resources Bhd (QL), pemegang francais induk FamilyMart Malaysia, Chia Lik Khai, di Sunway Pyramid.

Menurut FamilyMart Malaysia, pembaharuan ini bertujuan menjadikan kunjungan harian pelanggan lebih menyeronokkan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kedai serbaneka pilihan rakyat Malaysia.
Menariknya, sempena sambutan ulang tahun kali ini, FamilyMart turut menyediakan pelbagai tawaran istimewa yang boleh dinikmati oleh para pelanggan.
Perkenal dua pilihan kopi baharu serendah RM0.99
Buat penggemar kopi, FamilyMart kini memperkenalkan rangkaian Everyday Craft Coffee yang menampilkan dua pilihan kopi baharu, iaitu Sumiyaki dan Kinu.
Diilhamkan daripada seni kraf Jepun yang dikenali sebagai takumi, rangkaian kopi ini menitikberatkan kemahiran, ketelitian serta perhatian terhadap setiap perincian dalam penyediaannya.
Kedua-dua pilihan kopi yang diperakui barista itu menawarkan profil rasa berbeza bagi memenuhi cita rasa pelanggan.

Sumiyaki diinspirasikan daripada kaedah pemanggangan tradisional Jepun menggunakan arang, sekali gus menghasilkan rasa kopi yang lebih mantap, pekat dan beraroma panggang. Ia sesuai untuk mereka yang menggemari kopi hitam.

Sementara itu, Kinu yang bermaksud 'sutera' dalam bahasa Jepun menawarkan rasa lebih lembut dan seimbang, menjadikannya pilihan sesuai untuk minuman berasaskan susu seperti latte.

Lebih menarik, rangkaian kopi ini ditawarkan pada harga pengenalan serendah RM0.99, sebelum harga seterusnya bermula daripada RM3.90.
Oden kini ada lima pilihan kuah, Sofuto baharu turut diperkenalkan
Bukan itu sahaja, FamilyMart turut menambah variasi menu makanan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
Antara yang menarik perhatian adalah pembaharuan Oden FAMee yang kini menawarkan lima pilihan kuah, iaitu Classic Fishball, Sukiyaki, Laksa Kahwin, Creamy Mala dan Tom Yum.
Pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan mi dan ramuan Oden kegemaran bersama kuah mengikut cita rasa masing-masing. Dengan lima pilihan kuah tersebut, pelanggan boleh menikmati rasa berbeza setiap hari sepanjang minggu bekerja.
Dalam masa sama, FamilyMart turut memperkenalkan sofuto atau ais krim lembut berperisa brown sugar boba buat pertama kali.

Bagi peminat sofuto sea salt pula, ada berita baik kerana perisa kegemaran ramai itu kembali ditawarkan susulan permintaan pelanggan. Selain itu, FamilyMart terus memperluaskan pilihan makanan sedia dimakan seperti onigiri, sandwic, bento dan pasta yang sesuai dinikmati pada bila-bila masa.
Koleksi eksklusif FAMIMA by NIGO dibawa ke Malaysia
Selain makanan dan minuman, sambutan ulang tahun ke-10 FamilyMart turut dimeriahkan dengan pengenalan koleksi barangan gaya hidup eksklusif dari Jepun.
Menerusi koleksi FAMIMA by NIGO, FamilyMart membawa masuk barangan gaya hidup yang dipilih susun oleh pereka fesyen pakaian jalanan terkenal Jepun, NIGO, buat pertama kali ke Malaysia.
Koleksi ini menjadi antara tarikan utama di bawah tunjang Good Moments yang bertujuan menjadikan pengalaman pelanggan lebih menarik menerusi pelbagai kerjasama kreatif.

Tidak ketinggalan, FamilyMart turut memperkenalkan koleksi Famibara yang direka khas dan eksklusif untuk peminat jenama itu di Malaysia.
Kedua-dua koleksi tersebut dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada Disember 2026.
Bagaimanapun, ahli aplikasi MY FamilyMart berpeluang melihat pratonton dan membeli koleksi berkenaan dalam kuantiti terhad sempena acara ulang tahun yang berlangsung di Sunway Pyramid.
Promosi serendah RM0.10, E-baucar RM100 untuk pengguna baharu
Sempena ulang tahun ke-10 ini, FamilyMart turut menyediakan pelbagai promosi dan ganjaran istimewa khusus buat para pelanggannya yang dikenali sebagai FAM.
Antara tawaran yang disediakan termasuk kombo ulang tahun berharga RM10 yang menampilkan kerepek dan teh FamilyMart Collection.
Bagi pengguna baharu yang memuat turun aplikasi MY FamilyMart, mereka akan menerima pek e-baucar alu-aluan bernilai RM100.
Sementara itu, ahli sedia ada pula berpeluang menikmati promosi eksklusif sempena Member Day yang berlangsung pada 10 dan 11 November 2026, termasuk tawaran istimewa bermula serendah RM0.10.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha FamilyMart untuk menghargai sokongan pelanggan sepanjang sedekad operasinya di Malaysia.
“FamilyMart akan terus memperkenalkan pelbagai kerjasama kreatif dan mengujakan bagi menjadikan kehidupan seharian lebih ceria,” kata FamilyMart Malaysia.
Untuk pengetahuan, FamilyMart mula beroperasi di Malaysia pada 11 November 2016 dengan memberikan tumpuan kepada pilihan makanan sedia dimakan yang segar, berkualiti dan mudah dinikmati.
Dalam memastikan kualiti produk terus terpelihara, FamilyMart turut mengekalkan komitmen terhadap keselamatan makanan dan jaminan halal melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), merangkumi operasi dapur pusat, logistik serta penyediaan makanan di kedai.
Bagi meraikan ulang tahun ke-10, FamilyMart mengadakan acara khas di Orange Concourse, Sunway Pyramid, bermula 5 hingga 9 November 2026.

Pengunjung berpeluang mencuba menu baharu yang diperkenalkan serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang acara berlangsung.
Ahli aplikasi MY FamilyMart juga boleh mengunjungi Mini Store di lokasi berkenaan untuk melihat koleksi FAMIMA by NIGO dan Famibara sebelum pelancaran rasmi pada Disember nanti.
Jadi, buat peminat FamilyMart, inilah peluang untuk mencuba pelbagai menu baharu, menikmati tawaran istimewa dan meraikan ulang tahun ke-10 jenama itu di Malaysia.


