KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan menyalurkan imbuhan berjumlah RM4.26 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada atlet dan jurulatih yang meraih pingat pada tiga temasya utama tahun ini iaitu Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM3.55 juta ialah insentif SHAKAM kepada atlet pemenang pingat manakala RM710,000 ialah insentif Skim Galakan Jurulatih (SGAR) kepada jurulatih.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi RM1.09 juta bagi Sukan Komanwel Glasgow, RM1.87 juta bagi Sukan Asia dan RM1.30 juta bagi Sukan Para Asia Aichi-Nagoya.
“Insentif ini bukan semata-mata ganjaran wang. Ia simbol penghargaan negara terhadap pengorbanan, disiplin dan kecemerlangan anda.
“Setiap kali Jalur Gemilang dinaikkan dan Negaraku berkumandang, seluruh rakyat Malaysia berkongsi rasa bangga yang sama,” katanya dalam ucapannya di sebuah hotel di ibu negara di sini, malam ini.
Pada majlis berkenaan, jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjadi antara penerima imbuhan tertinggi bagi kategori Penghargaan Khas apabila membawa pulang RM180,000 selain jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly yang menerima ganjaran berjumlah RM160,000.
Kontinjen negara telah mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan Komanwel Glasgow yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos lepas dengan meraih lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa, sekali gus menduduki tempat ke-10 secara keseluruhan.
Pencapaian itu melepasi sasaran awal iaitu lima pingat emas, selain merupakan pencapaian terbaik negara sejak Sukan Komanwel New Delhi 2010.
Selang 48 hari kemudian di Sukan Asia Aichi-Nagoya, atlet negara sekali lagi membuktikan kehebatan apabila berjaya melepasi sasaran enam emas dengan membawa pulang sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa.
Pencapaian membanggakan itu sekali gus menyaksikan atlet negara berjaya menyamai rekod terbaik Malaysia di Sukan Asia Guangzhou 2010.
Kecemerlangan turut dilakar pada temasya Sukan Para Asia yang berlangsung dari 18 hingga 24 Okt lepas apabila sasaran enam emas berjaya dicapai kontinjen negara.
-- BERNAMA

