Siakap Keli

Bayi Lahir Dengan Kaki Terlipat Ke Atas Kerana Caudal Regression Syndrome

Seorang bayi dilahirkan dengan kondisi jarang-jarang berlaku iaitu dengan posisi kaki terlipat ke atas dan tanpa tulang punggung di United Kingdom.

Bayi berkenaan, Baron lahir dengan satu sindrom yang dikenali sebagai sindrom caudal regression (CRS) yang membuatkan Baron tidak mempunyai kawalan terhadap bahagian bawah badannya.

Ibunya, Tracy Fletcher, 39, sudah mengetahui keadaan anaknya itu sejak di dalam kandungan lagi dan telah dinasihatkan oleh doktor supaya menggugurkan bayi tersebut ketika Baron baru berusia 20 minggu.

”Kami menerima kenyataan bahawa Baron dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) dan kami akan membantunya sebaik mungkin. Kami tidak mahu membeza-bezakannya dengan bayi yang lain,” kata Fletcher.

”Selepas menjalani imbasan ketika usia kandungan 20 minggu, saya dan suami terfikir kehidupan bagaimana yang bakal kami lalui selepas ini dengan keadaan Baron seperti ini.

”Doktor memberitahu bayi ini cacat, mempunyai masalah buah pinggang, hempedu dan usus serta tak mungkin boleh berjalan. Tetapi akhirnya, kami mengambil keputusan untuk meneruskan kandungan dan menerimanya di dunia ini seadanya.

”Selepas saya selamat melahirkan Baron. Doktor bertanya sama ada saya mahu melihat keadaannya. Ketika menunjukkan Baron kepada saya, seolah-olah realiti sebenar memukul saya dengan kuat.

”Baron kelihatan lebih teruk daripada apa yang kami sangkakan. Kakinya terlipat ke atas, seolah-olah bersambung dengan bahu. Malah jururawat turut memberitahu sepanjang 25 tahun bertugas, itulah kali pertama dia melihat bayi dilahirkan dengan kondisi sebegitu rupa,” kongsi Fletcher lagi.

Baron kemudian diletakkan dalam keadaan koma disebabkan paru-parunya dipenuhi cecair dan hanya dibenarkan pulang ke rumah tiga minggu kemudian.

”Ketika Baron dalam unit rawatan rapi, saya menemaninya setiap hari. Keadaan Baron sungguh menyedihkan,” kata Fletcher.

Biarpun Baron sudah kembali ke rumah, namun untuk menjaganya, ibubapa Baron berhadapan dengan masalah yang besar.

”Kami tidak mampu memakaikannya dengan pakaian dengan betul kerana keadaan kakinya. Baron juga tidak boleh menggerakkan kakinya juga.

”Baron tidak berupaya untuk berbuat demikian kerana dia tidak mempunyai deria rasa di bahagian bawah badannya,” dedah Fletcher lagi.

Menurut Fletcher lagi, Baron memerlukan pembedahan khas untuk memperbetulkan kedudukan kakinya. Malah, mereka kini sedang mengumpulkan dana untuk membeli kerusi roda khas untuk memudahkan pergerakkan Baron apabila membesar kelak.

Apakah Caudal Regression Syndrome

Caudal Regression Syndrome menjejaskan fungsi bahagian bawah badan termasuklah fungsi organ, tulang belakang, hempedu, perut dan usus.

Tulang belakang mungkin abnormal atau bahagian tertentu hilang. Keadaan ini juga turut menjejaskan bahagian dada pesakit hingga menyebabkan pesakit mengalami kesukaran untuk bernafas. Sesetengahnya juga menunjukkan kondisi tulang punggung yang tidak sempurna dan kaki yang terlipat ke atas.

Punca sindrom ini sering dikaitkan dengan wanita hamil yang mempunyai penyakit kencing manis. Ini disebabkan kandungan gula yang tinggi telah memberi kesan kepada perkembangan fetus. Bagaimanapun, sindrom ini juga boleh berlaku disebabkan faktor yang lain.

Dalam kebanyakkan kes yang berlaku, bayi dengan sindrom ini tidak mampu bertahan lama disebabkan kecelaruan fungsi jantung, buah pinggang dan masalah pernafasan.

Bagi bayi yang selamat pula, mereka bakal menjalani kehidupan yang tidak sempurna disebabkan bahagian bawah badan yang tidak berfungsi.

Rawatan yang ada hanyalah tertumpu kepada proses bantuan untuk membolehkan bayi-bayi ini menjalani kehidupan seperti orang biasa sehampir yang mungkin apabila membesar kelak.

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.