Siakap Keli

McDonald’s Terus Ukir Senyuman Di Wajah Golongan Kurang Bernasib Baik

Setiap kali tiba cuti persekolahan hujung tahun, ia pasti memberi keseronokan kepada anak-anak muda terutama bagi mereka yang masih bersekolah rendah. Namun, dalam keseronokan itu, ada di antara kita yang kurang bernasib baik dan tidak dapat merasai kegembiraan cuti sekolah seperti orang lain.

Pergi bercuti jauh sekali, malah ada ibu bapa mereka yang sudah mula memikirkan mengenai pembelanjaan bagi menghadapi musim persekolahan yang baharu. Atas sebab itu, McDonald’s rasa bertanggungjawab untuk membantu golongan kurang berkemampuan ini untuk mengurangkan beban mereka sekaligus memberikan keterujaan kepada anak-anak kecil ini bagi menempuhi persekolahan tahun hadapan.

McDonald’s Malaysia telah mengumumkan sumbangan berjumlah RM 1.125 juta bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar di Kedah, termasuk penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” kepada 1,250 pelajar sekolah rendah dari keluarga miskin bagi sesi persekolahan 2019.

Melalui program hasil kerjasama di antara McDonald’s Malaysia, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald(RMHC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia ini, setiap seorang daripada 1,250 pelajar sekolah rendah berkenaan telah menerima satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah dan sebuah beg sekolah.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Dr Ismail Salleh berkata, pihak kerajaan sangat mengalu-alukan program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat sebegini dan memuji usaha murni oleh McDonald’s ini.

Kerjasama antara kerajaan, syarikat perniagaan dan masyarakat juga dapat membantu dalam menangani masalah yang dihadapi oleh golongan kurang bernasib baik. Sebelum ini, McDonald’s telah mengumumkan bahawa mereka komited untuk membantu lebih 17,000 kanak-kanak dari golongan miskin bandar di seluruh negara bagi menghadapi sesi persekolahan tahun hadapan.

Melalui sumbangan ini, McDonald’s secara tidak langsung telah menyempurnakan kewajipan zakat mereka kepada negeri Kedah. Menurut Pengarah Urusan & Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar, syarikat ini telah memenuhi kewajipan zakat sejak berada di bawah pemilikan baharu Kumpulan Reza dari Arab Saudi bermula tahun lalu.

Beliau juga berkata, McDonald’s Malaysia kini 100% dimiliki oleh umat Islam dan zakat adalah salah satu kaedah untuk mengurangkan kadar kemiskinan selain menjadi tanggungjawab kepada setiap umat Islam.

Selain itu, McDonald’s juga telah menganjurkan satu program perantisan yang menjadi sebahagian daripada Sistem Latihan Dual Nasional(SLDN) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Melaluinya, mereka akan dapat memupuk bakat baharu sambil meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat.

Oleh itu, pihak McDonald’s Malaysia mengalu-alukan belia dari golongan asnaf di negeri Kedah bagi menyertai program perantisan SLDN McDonald’s ini. Selepas menjalani latihan dari segi teori dan praktikal selama 18 bulan, mereka akan layak untuk bekerja di restoran McDonald’s secara sepenuh masa.

Bukan itu sahaja, para perantis juga akan diberikan pelbagai kemudahan lain seperti elaun bulanan sebanyak RM 1,200, faedah perubatan dan insurans serta makanan secara percuma.

Usaha murni dari pihak McDonald’s Malaysia ini ternyata wajar dipuji dan diharapkan akan dapat membuka mata lebih ramai pihak untuk membantu golongan kurang bernasib baik sekaligus dapat mengukir senyuman di wajah-wajah mereka.

Haikal Ariff

I don't care what people think, because people don't think