Siakap Keli

McDonald’s Malaysia Terus Bantu Masyarakat, Agih Dana Lebih RM 500 Ribu Untuk Golongan Memerlukan Di Perlis

Pengendali restoran khidmat segera popular dunia, McDonald’s terus melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya apabila kali ini menyalurkan dana berjumlah RM 533,900 melibatkan pelbagai insentif bagi membantu golongan asnaf di Perlis.

Antara insentif-insentif yang disediakan oleh gergasi restoran makanan tersebut bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) termasuklah penyerahan zakat perniagaan, pelantikan belia asnaf ke program perantisan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s, dan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” kepada 739 kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga miskin bandar di Perlis untuk persiapan sesi persekolahan 2019. Penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” ini turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mendapat kerjasama baik daripada Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), majlis penyerahan sumbangan yang diadakan bersempena Program Kayuhan MAIPs Peduli Ke-92 itu turut diserikan dengan kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs yang berkenan untuk merasmikan acara tersebut.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan beberapa orang pegawai kanan lain yang mengiringi Baginda melakukan lawatan berbasikal ke sekitar kampung-kampung untuk menyerahkan bantuan zakat kepada asnaf yang memerlukan.

“Kami berbangga dapat melibatkan diri dalam program kemasyarakatan seperti ini untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Kami telah berbasikal di sekitar kampung-kampung sejak petang tadi, dan amat gembira ia diakhiri pula dengan program kemasyarakatan anjuran McDonald’s Malaysia.

“Acara ini merupakan contoh bagaimana organisasi perniagaan dan organisasi bukan berasaskan keuntungan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat,” kata Mohd Nazim ketika mengulas mengenai majlis tersebut.

Ujar beliau, pihak MAIPs berasa gembira dengan kerjasama erat ditawarkan oleh pihak McDonald’s Malaysia yang sudi melibatkan diri dalam membantu usaha agensi kerajaan negeri itu menjamin kesejahteraan dan mendekati rakyat, terutamanya golongan belia dan kanak-kanak sekolah.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, dengan pengambilalihan McDonald’s Malaysia oleh pengurusan baru, Kumpulan Reza dari Arab Saudi, McDonald’s Malaysia kini dimiliki 100 peratus umat Islam. Sejak dari itu McDonald’s Malaysia komited menjalankan kewajipan mengeluarkan zakat setiap tahun, bermula tahun lepas.

Menurutnya lagi, zakat merupakan salah satu kaedah Islam dalam mengurangkan kemiskinan dan sudah menjadi tanggungjawab buat penganut agama suci itu untuk melaksanakannya.

Kumpulan Reza merupakan sebuah syarikat yang memiliki dan mengurus semua cawangan McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi sejak 20 tahun lalu, termasuk cawangan McDonald’s di Mekah dan Madinah.

Selain itu, McDonald’s Malaysia antara lain turut mewujudkan Program Perantisan McDonalds yang merupakan sebahagian daripada Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan kerjasama daripada Kementerian Sumber Manusia. Melalui program ini, McDonald’s Malaysia berusaha untuk memupuk bakat baru yang mempunyai tahap piawaian yang tinggi.

“Kami mengalu-alukan para belia di negeri Perlis untuk menyertai program perantisan kami. Tempoh latihan adalah selama 18 bulan di mana para perantis akan menerima latihan praktikal dan pembelajaran teori di dalam kelas.

“Sebaik sahaja mereka menamatkan program ini, mereka layak untuk bekerja di restoran McDonald’s sepenuh masa. Di samping itu, program ini juga membolehkan mereka untuk mempelajari kemahiran sepanjang hayat,” kata beliau lagi.

Bagi setiap asnaf yang menyertai program ini akan memperolehi elaun bulanan sebanyak RM 1,200 selain faedah perubatan dan insuran, pengangkutan serta makanan.

Melalui majlis yang sama, McDonald’s Malaysia turut tidak ketinggalan untuk meraikan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan melalui pengagihan pek ‘Kembali Ke Sekolah’ yang memberi manfaat kepada lebih 17 ribu orang kanak-kanak sekolah rendah seluruh negara. Di Perlis, seramai 739 orang pelajar sekolah rendah yang bertuah menerima insentif ini.

Membabitkan peruntukan melebihi RM 1.7 juta, setiap kanak-kanak menerima 1 set pakaian seragam dan sepasang kasut sekolah serta beg sebagai persediaan untuk memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Azmir menyifatkan program ‘Kembali Ke Sekolah’ ini penting kepada McDonald’s dan RMHC kerana memberi bantuan kepada kanak-kanak luar bandar yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan. Beliau berharap motivasi setiap kanak-kanak bertambah tinggi untuk memulakan sesi persekolahan baru memandangkan mereka semua merupakan bakal pemimpin masa depan tanah air.

Usaha murni yang dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia ini wajar dipuji dalam memastikan semua pihak terutamanya mereka yang kurang bernasib baik memperoleh peluang hidup yang lebih baik, sekali gus mengukir senyuman di wajah mereka.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.