Siakap Keli

Anih Berhad Tamatkan Kontrak Pengusaha Gerai No.6 R&R Gambang

Syarikat pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad menamatkan kontrak pengusaha gerai nombor 6 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini yang pekerjanya terlibat insiden membelasah seorang pemandu bas ekspres dalam kejadian 24 Disember lalu.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd. Radzi berkata penamatan kontrak tersebut berkuat kuasa pada 31 Disember baru-baru ini setelah siasatan mendapati pihak berkenaan melanggar syarat kontrak yang ditetapkan.

“Selain daripada siasatan yang dilakukan polis, pihak Anih Berhad turut mengendalikan siasatan dalaman sejurus selepas kejadian dan didapati pengusaha  berkenaan telah melakukan kesalahan.

“Ada klausa di dalam kontrak berkenaan yang menetapkan pengusaha gerai dilarang menggunakan gerai untuk tujuan yang tidak diingini dan dilarang melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang, berkelakuan kurang sopan, bergaduh dengan pengusaha  gerai yang lain serta pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media berhubung kejadian itu di R&R Gambang, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1), di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengurus Kanan Ketua Pengurusan Aset Anih Berhad Rosli Ahmad.

Menurutnya pihak Anih Berhad kesal dengan kejadian tersebut yang disifatkan hanya kes terpencil dan tidak pernah berlaku sejak itu lebuh raya itu dibuka pada 2004.

“Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga, memang tidak dinafikan selepas kejadian itu berlaku penyusutan yang ketara iaitu hampir 50 peratus dari segi kehadiran pengunjung dan jualan oleh pengusaha gerai.

“Pihak Anih Berhad sendiri telah mengadakan pertemuan bersama pengurusan bas Sani Ekspress pada 26 Dis lalu, bagi berbincang dari hati ke hati bagi menyelesaikan masalah itu secepat mungkin bagi manfaat bersama,” katanya.

Mengikut rekod lebih 42,000 pengguna menggunakan LPT1 setiap hari dan dianggarkan sebanyak lima peratus daripadanya berhenti rehat di R&R Gambang.

Terdapat seramai 32 pengusaha  gerai di kedua-dua hala kawasan rehat berkenaan yang menyediakan pelbagai jenis jualan termasuk makanan, minuman, kraftangan dan barangan runcit.

Dalam masa yang sama Radzimah berkata pihak Anih Berhad bercadang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kesemua lima kawasan R&R di kedua-dua hala sepanjang Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan LPT1 pada tahun ini bagi tujuan keselamatan.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pengendali Gerai Gambang Timur NoraIan Ismail berharap pengguna lebuh raya itu tidak berterusan menghukum kesemua pengusaha  gerai di R&R Gambang disebabkan kesilapan hanya satu pihak.

“Pihak yang berkenaan juga telah djatuhkan hukuman dengan ditamatkan kontrak, sehubungan itu  kami berharap agar pengguna lebuh raya ini terutama pemandu bas ekpress serta pemandu lori supaya dapat singgah semula di sini,” katanya.

Semasa kejadian pukul 1.30 pagi pada 24 Disember lalu, seorang pemandu bas dibelasah sekumpulan lelaki di kawasan meletak kenderaan berat di R&R Gambang di sini dan kejadian tersebut turut tular menerusi penyebaran video di laman sosial.

Mahkamah Majistret Kuantan pada 31 Dis lalu menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 kepada enam lelaki setelah didapati bersalah memukul pemandu bas di kawasan R&R Gambang arah barat 24 Dis lalu.

Bagaimanapun dalam prosiding berasingan pemandu bas berkenaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan atas dua pertuduhan memukul dua pekerja di gerai di R&R Gambang, arah timur pada hari yang sama.

Sumber: Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)