Siakap Keli

”10 Tahun Kami Tunggu Mendapatkanmu Anak, Tapi Kini Mummy Sudah Tiada Lagi,” Sebak Luahan Pilu Ayah Buat Anak

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kehilangan insan tersayang terutamanya pasangan hidup sulit untuk diterima apatah lagi jika dia pergi sekelip mata. Sakitnya melalui hari apabila dia yang selalu di sisi, di hati dan menemani jiwa setiap hari kini sudah tiada lagi. Impian yang dirancang bersama selama ini hancur berkecai. Hanya kenangan dan doa buatnya menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan hidup.

Seperti perkongsian luahan tulus dari hati seorang bapa tunggal kepada cahaya mata sulungnya yang ternyata meruntun hati setiap yang membaca. Manakan tidak, 10 tahun lamanya dia dan isteri menunggu amanah Allah ini. Tidak sabar melihatnya membesar, namun siapa sangka , takdir Allah merancang sebaliknya.

Isteri tersayang pergi tanpa pesan meninggalkan suami seorang diri membesarkan tiga cahaya mata mereka. Impian seorang wanita bergelar ibu tertunai, namun pemergiannya Ogos tahun lalu, memberi kesan mendalam buat keluarga yang ditinggalkan. Sebak!

Duhai anak.

Dulu nak dapat kamu punyalah lama kami tunggu. Dekat 10 tahun mommy dan daddy mencuba. Kami dah pasrah yang kami akan berdua sahaja sampai ke tua. Tapi Allah ada perancangan lain. Tak semena-mena kamu keluar menjengah dunia.

Memberi kegembiraan yang bukan kepalang buat kami. Mommy yang paling happy. Impiannya untuk bergelar ibu tercapai. Daddy cool sahaja namun mommy tak tau daddy bukan main menangis kegembiraan ketika kamu lahir.

Mommy telah rancang perjalanan hidup kamu. Dia nak kamu buat itu ini, dia nak kamu jadi begitu begini. Dia sangat bahagia dan hidupnya ketika itu hanyalah untuk kamu.

Ketahuilah yang kamu dilahirkan bukan di bumi ini. Ketika cuaca di luar sejuk membeku, ketika langit lesu dan 12 jam mommy menahan kesakitan untuk melahirkan kamu di bumi yang asing sekali. Walaupun jauh dari rakan dan saudara, kami sangat bahagia.

Kami berikan segalanya yang terbaik buat kamu. Tempat tinggal paling baik, makan minum paling bagus dan pakaian yang paling selesa. Hari-hari kami penuh bahagia dihiasi suara kecil tangis dan gelak kamu.

Cepatnya kamu membesar. Dan secepat itu juga mommy pergi meninggalkan kamu. Tidak ada rasa paling sedih dan gundah di dalam hati daddy mengenangkan kamu dan adik-adik yang ditinggalkan dalam usia sebegini. Masih terlalu kecil untuk kehilangan seorang ibu.

Daddy tahu kamu menahan sepi. Daddy tahu kamu menahan rindu. Tiada apa yang dapat daddy lakukan untuk menghilangkan rindu kamu pada arwah mommy.

Hanya masa yang berlalu pergi akan membawa bersama rasa rindu dan sepi itu. Daddy yakin kamu sudah mula menyedarinya kini. Yang dah pergi tidak akan kembali.

Tidak mengapa, daddy sentiasa ada di sisi selagi tidak dijemput Ilahi. Ketahuilah oleh kamu yang daddy tidak akan sama sekali meninggalkan kamu. Daddy akan sentiasa ada mengekori langkah dan meneman kamu.

Membesarlah duhai anak dengan menjadi seorang yang sentiasa memberi kebaikan kepada manusia di sekeliling kamu. Membesarlah menjadi seorang anak yang penuh dengan sifat kasih dan sayang.

Dan membesarlah menjadi seorang anak yang sentiasa mendoakan kedua-dua orang tuamu ini. Hari ini usia kamu genap 5 tahun. Sesungguhnya daddy sangat berbangga dengan kamu.

Happy Birthday Khaleef.

KHAIRUL ABDULLAH 
Ayahmu.

Sumber : Khairul Abdullah

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.