Siakap Keli
House Plan-Gambar Hiasan

Baru Merancang Untuk Beli Rumah? Jadikan 20 ‘Checklist’ Ini Sebagai Panduan Sebelum Buat Keputusan

Menjadi impian setiap orang untuk memiliki rumah sendiri secepat mungkin. Dengan sektor hartanah menunjukkan peningkatan harga dari masa ke masa, begitu juga dengan harga rumah.

Duduk di rumah sendiri berbeza seperti menyewa. Perasaan yang dirasai setiap hari juga berbeza. Tidak lagi ‘menumpang’ di rumah orang. Kalau nak hias rumah pun tak perlu pening pasal untung rugi kerana sememangnya itu rumah kita buat selamanya.

Tapi nak beli rumah bukan satu perkara yang mudah, selain soal kewangan yang perlu diambil kira, ilmu mengenai hartanah juga perlu dipelajari. Supaya kita tahu mana nak tuju sekiranya ada masalah kelak.

Apa kata anda baca perkongsian yang dibuat oleh Hartabumi.com di bawah mengenai 20 Panduan Untuk Membeli rumah. Semoga bermanfaat.

Ada yang berazam untuk beli rumah tahun depan? Tapi masih samar – samar caranya bagaimana?

Baca thread infografik sedap ini dengan tenang.

Ramai orang beranggapan membeli hartanah dan rumah adalah sangat sukar dan mereka mengalah dan ‘rela’ menyewa berbanding membeli rumah sendiri.

Paling kuat mereka lakukan ialah dengan luahkan amarah di FB dan Twitter.

Sedang mereka habiskan masa di sosial media, orang lain sibuk kumpul duit dan cantikkan profil kewangan untuk beli rumah.

Nah, sila baca 20 langkah ini dengan baik.

Yang penting, lepas baca jangan lupa RT biar member anda tak menyewa sampai mati.

Kos asas untuk pembelian rumah atau hartanah merangkumi deposit rumah , SPA dan duti setem.

Untuk deposit rumah, anda perlu sediakan 10% daripada harga rumah idaman anda dan bagi SPA ialah 3% harga rumah manakala duti setem ialah 2.5% daripada harga rumah.

Bidang hartanah adalah luas dan anda perlu mendapatkan ilmu hartanah bagi mengelakkan anda tersilap langkah dan kerugian.

Anda boleh belajar ilmu hartanah daripada ejen hartanah, membeli buku atau ebook, menonton YouTube, FB Live dan sebagainya.

Anda wajib mempunyai sumber pendapatan yang konsisten dan mengisytiharkan diri anda untuk cukai.

Selain itu, elakkan berhutang dan konsisten dalam menyimpan mahupun dalam pelaburan.

Setiap perkara ini anda dokumenkan agar mudah untuk pihak bank menyemak profil kewangan anda.

Tahukah anda, segala tunggakan anda dengan bank lain direkodkan di dalam CCRIS dan CTOS.

Jika anda berhasrat untuk membeli rumah, pastikan lejar CCRIS dan CTOS anda adalah baik.

Jika tidak, maka pihak bank sukar untuk meluluskan pinjaman bagi pembelian hartanah.

Untuk mengira kelayakan anda adalah tidak sukar, anda boleh pergi ke mana-mana institusi perbankan di Malaysia dan tanyakan kelayakan pinjaman perumahan anda.

Setiap bank mempunyai kadar faedah yang berbeza dan anda haruslah bijak dalam melihat peluang.

Bila anda telah mula masuk di dalam ‘industri’ hartanah, anda harus tahu samada rumah yang hendak anda beli itu untuk duduk atau sewakan kepada orang lain.

Hal ini kerana, kedua-dua objektif adalah berbeza dan anda harus menetapkan pegangan anda sebelum membeli rumah tersebut.

Seterusnya, tibalah masa untuk anda mula mencari jenis rumah pilihan anda samada jenis subsale, rumah undercon mahupun rumah baru.

Memandangkan terdapat banyak projek pembangunan hartanah pada tahun ini, anda mempunyai banyak pilihan sebelum membuat keputusan.

ika anda sememangnya berniat membeli hartanah untuk tujuan pelaburan, maka pastikan dengan betul jenis pelaburan yang hendak anda lakukan.

Contoh : AirBnB, sewa kontrak, rumah tumpangan dan sebagainya.

Pastikan anda belajar ilmu pelaburan hartanah dengan baik.

Selepas itu, anda perlu pastikan apakah pasaran rumah yang hendak anda masuk samada ianya adalah pasaran lelong, rumah undercon mahupun jenis subsale.

Ketiga-tiga jenis rumah adalah dalam pasaran yang berbeza.

Bajet mempengaruhi jenis rumah yang akan anda beli samada untuk dihuni mahupun dibuat pelaburan.

Jadi, pastikan anda lihat dan semak bajet anda, kerana dikhuatiri tersilap melihat harga rumah maka seluruh strategi pelaburan yang anda rencanakan akan terbantut.

Pada hemat kami, adalah lebih baik untuk anda beli hartanah melalui ejen kerana urusan bank dan dokumen akan diselesaikan oleh ejen.

Jika anda mempunyai masa yang lapang dan tahu langkah untuk pembelian hartanah, tiada masalah untuk anda beli sendiri tanpa khidmat ejen hartanah.

Anda harus tahu dimana platform ideal mengenai hartanah atas tujuan untuk mencari hartanah dan mengiklan hartanah.

Hal ini kerana, platform yang tepat mampu menyingkatkan masa anda dan membolehkan anda mendapat prospek yang tepat.

Sekali lagi, sebelum anda membuat sebarang tindakan untuk menandatangani dokumen pembelian hartanah, pastikan anda semak harga hartanah yang anda hendak beli di pasaran.

Hal ini kerana, harga di pasaran boleh berubah atas pelbagai faktor.

Selepas anda menyemak harga pasaran, maka anda hendaklah menandatangani dokumen booking atas hartanah yang hendak anda beli.

Jangan lupa untuk mohon pinjaman perumahan dari dua bank yang berbeza.

Hal ini kerana, anda terpaksa menunggu sekurang-kurangnya tiga (3) bulan jika bank yang anda mohon itu tidak meluluskan permohonan anda.

Selepas permohonan anda diluluskan, dan anda juga telah menandatangani LO (offer letter), maka tibalah masa untuk anda turunkan tandatangan bagi perjanjian pinjaman perumahan dengan pihak bank.

Selepas itu, anda perlu menandatangani surat perjanjian SPA dan bayar baki 6.82% (deposit) tersebut kepada pihak pemaju hartanah tersebut.

Sila follow up peguam yang menguruskan segala urusan perjanjian dan dokumentasi pembelian hartanah anda agar tidak berlaku sebarang kesulitan yang boleh menyebabkan kelewatan anda mendapat kunci rumah baru anda.

Bank akan ‘disburse’ pinjaman permohonan untuk selesaikan tunggakan pemilik rumah.

Selepas itu, pihak bank yang memberikan anda pinjaman perumahan akan ‘disburse’ sekali lagi (dua kali) agar ianya menjadi ‘full disbursement’.

Itulah sedikit sebanyak perkongsian mengenai langkah-langkah dalam panduan beli rumah.

Semoga anda semua yang membaca mendapat manfaat dari thread ini dan mampu membeli hartanah idaman anda kelak!

Sumber: Hartabumi.com

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.