Siakap Keli
Chee Kong Wong

(Video)Pemandu Lori Maut Dalam Kebakaran Di Lebuh Raya Berhampiran Slim River

SLIM RIVER, 23 Feb (Bernama) — Seorang pemandu lori maut dalam kebakaran membabitkan kemalangan antara sebuah lori membawa muatan barang-barang runcit dengan lori tangki minyak di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang di sini pagi ini.

Menurut kenyataan jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kira-kira 8.51 pagi tadi dan tiga buah jentera dikejarkan ke lokasi itu.

“Setibanya jentera kami di tempat kejadian, didapati dua lori terlibat dalam kemalangan dan terbakar serta terdapat seorang mangsa maut.

“Maklumat mangsa, bangsa, agama tidak dapat dikenal pasti, kami akan kemas kini selepas mendapat info terkini,” katanya.

Operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan dibantu BBP Tapah dan BBP Bidor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan ringkas berkata dipercayai lori tangki telah melanggar belakang lori membawa muatan barang runcit itu di lorong kecemasan lalu terbakar serta menyebabkan seorang maut.

“Semua lorong masih ditutup sepenuhnya, bagi kerja-kerja memadamkan kebakaran,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.