Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lelaki Tertinggal Isteri Di Stesen Minyak, Hanya Sedar Selepas 300 Kilometer
Seorang lelaki berusia 62 tahun dari Perancis menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan bahawa dia tertinggal isterinya di sebuah stesen minyak di lebuh raya, dan malangnya, dia langsung tidak ingat di mana.
Insiden aneh itu berlaku pada 5 Julai lalu, ketika lelaki tersebut bersama isteri dan anak perempuan mereka memulakan perjalanan percutian dari Paris ke Maghribi menaiki kereta keluarga.
Mereka berhenti di beberapa stesen minyak untuk berehat, namun sekitar jam 4.30 pagi, lelaki itu tanpa sedar telah memandu meninggalkan isterinya di salah satu stesen tersebut.
Lebih mengejutkan, dia hanya menyedari kehilangan isterinya selepas memandu sejauh 300 kilometer.
“Kami menerima panggilan yang mengelirukan ini sekitar jam 8.30 pagi. Lelaki itu tidak pasti di mana dia berhenti atau bila. Dia hanya menyebut kemungkinan berhenti di sekitar Orléans. Kami kemudian hubungi pasukan kami di sana untuk membuat semakan,” kata jurucakap Gendarmerie di wilayah Lardes kepada media tempatan, France 3.
Menambah kekeliruan, anak perempuan pasangan itu yang berusia 22 tahun berada bersama dalam kereta, tetapi tidak dapat membantu polis kerana dia sedang tidur dan tidak menyedari ibunya telah ditinggalkan.
Pihak polis telah memeriksa beberapa kawasan rehat di sepanjang lebuh raya, namun masih gagal mengesan wanita berkenaan.
Namun, polis akhirnya berjaya mengesan isteri lelaki itu dengan bantuan syarikat telekomunikasi yang menjejak lokasi telefon bimbitnya.
Wanita berkenaan ditemui di sebuah stesen minyak di kawasan Deux-Sèvres, kira-kira 300 kilometer dari tempat suaminya menyedari kehilangannya.
Difahamkan, sejak ditinggalkan jam 4.30 pagi, wanita itu tetap menunggu di lokasi sama dengan harapan keluarganya kembali.
Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit benar-benar terlupa tentang isterinya dan tidak berniat jahat. Selepas keluarga itu disatukan semula, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan ke Maghribi.
BACA: Disyaki Meninggal Dunia Sejak Oktober 2024, Mayat Humaira Asghar Ditemui Mereput
Sumber: Oddity Central