Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Disyaki Meninggal Dunia Sejak Oktober 2024, Mayat Humaira Asghar Ditemui Mereput

Iqbal Yasir
Humaira Asghar meninggal dunia mereput
Gambar: Ig Humaira Asghar

Disyaki Meninggal Dunia Sejak Oktober 2024, Mayat Humaira Asghar Ditemui Mereput

KARACHI — Pelakon dan model Pakistan, Humaira Asghar Ali ditemukan mereput, dipercayai telah meninggal dunia sejak sembilan bulan lalu berdasarkan bukti forensik dan digital yang diperoleh pihak berkuasa, lapor Arab News.

Difahamkan, wanita berusia 30-an itu ditemui dalam keadaan telah reput di sebuah unit pangsapuri di Ittehad Commercial, Karachi.

Mayatnya ditemui oleh seorang pegawai mahkamah yang mahu mengosongkan rumah berkenaan pada Selasa lalu susulan aduan tuan rumah.

Menurut Pakar Bedah Polis Karachi, Dr. Summaiya Syed, hasil bedah siasat awal menunjukkan tahap reput mayat sangat teruk dan kematian dipercayai berlaku lebih sebulan lalu.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendedahkan sebaliknya apabila mendapati mangsa tidak menunjukkan sebarang aktiviti dalam media sosial atau telefon selepas Oktober 2024.

Berdasarkan rekod Humaira membuat hantaran terakhir di Facebook adalah pada 11 September lalu. Manakala Instagram pada 30 September 2024.

Jiran tetangga turut mengesahkan kepada pihak polis bahawa mereka tidak melihat mangsa sejak September atau Oktober tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Karachi, Syed Asad Raza, mengesahkan bahawa panggilan terakhir daripada telefon milik Humaira dibuat pada Oktober 2024, dan tiada sebarang aktiviti selepas itu.

“Rekod panggilan terakhir adalah pada Oktober 2024,” katanya kepada Arab News

Menurut dua pegawai penyiasat yang enggan dikenali, mayat tersebut dianggarkan telah berada di unit kediaman itu selama sembilan bulan.

Mereka percaya mangsa meninggal dunia antara tempoh membayar bil utiliti terakhir dan pemotongan bekalan elektrik pada bulan tersebut

“Sisa makanan yang telah tamat tempoh serta balang berkarat di dapur mengukuhkan anggaran masa kematiannya,” kata salah seorang pegawai.

Sepanjang tempoh tersebut, difahamkan tiada penghuni (jiran), menyebabkan tiada sesiapa menyedari kehadiran bau.

Tambah jiran di unit bersebelahan yang kembali pada Februari, dia memaklumkan bahawa tidak mengesan sebarang bau dari rumah mangsa. Tambahan pula, pintu balkoni rumah mangsa dibiarkan terbuka, dipercayai mempercepat proses pelupusan bau.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati tiada bekalan elektrik, air paip kering serta berkarat dan tiada sumber cahaya alternatif seperti lilin ditemui di rumah berkenaan.

Sementara itu, polis mengesahkan bahawa keluarga mangsa enggan menuntut mayatnya. Setakat ini, punca sebenar pihak keluarga tidak mahu menuntut mayat tersebut masih belum diketahui.

Untuk makluman, Humaira Asghar mula dikenali selepas memenangi pertandingan Veet Miss Super Model 2014 dan menyertai program realiti Tamasha Ghar pada tahun 2022.

Namanya semakin popular selepas membintangi beberapa drama TV popular seperti Just Married, Ehsaan Faramosh, Guru, dan Chal Dil Mere, serta muncul dalam filem Jalaibee (2015) dan Love Vaccine (2021).

Sumber: Arab News

BACA: Tun Mahathir: Biodata, Pendidikan, Politik, Sumbangan

BACA: Akaun Palsu Guna AI Papar Wajah Suara Agong Dikesan – RPO