Alan Jones, juara dunia Formula 1 (F1) 1980 dan antara dua pelumba Australia yang pernah merangkul kejuaraan dunia itu, meninggal dunia pada 5 November, beberapa hari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-80.
Jones yang dilahirkan pada 2 November itu dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sakit dalam tempoh singkat.
Sepanjang kariernya dalam F1, Jones memenangi 12 perlumbaan Grand Prix dan menjadi juara dunia pada 1980.
Kejayaan itu menyaksikan beliau menyertai Jack Brabham sebagai antara hanya dua pelumba Australia yang pernah dinobatkan sebagai juara dunia F1.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak isterinya, Amanda Butler-Davis, Jones akan dikenang oleh keluarga, sahabat terdekat serta peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
“Beliau menumpukan seluruh hidupnya kepada sukan permotoran, membina legasi yang akan terus dikenang menerusi ramai individu yang pernah disentuh kehidupannya,” menurut kenyataan itu seperti dilaporkan penyiar nasional Australia, ABC.
Jones turut dikenang kerana pencapaian, minat dan keperibadiannya yang terserlah sama ada di dalam mahupun di luar litar.
“Melalui pencapaian, minat dan keperibadiannya yang tersendiri, Alan meninggalkan kesan yang berkekalan terhadap sukan ini di Australia dan seluruh dunia,” menurut kenyataan berkenaan.
Jones yang merupakan anak kepada pelumba kereta Stan Jones, pemenang Grand Prix Australia 1959, berpindah ke Britain pada 1970 bagi mengejar impiannya untuk beraksi dalam F1.

