Siakap Keli
Gambar : Bernama

Catuan Bekalan Air Jika Panas Berterusan Hingga Mei – JPS

Kangar : Paras air Empangan Timah Tasoh, satu-satunya empangan di Perlis berada pada paras normal dan berupaya bertahan selama empat bulan lagi dalam cuaca panas sekarang.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Mohamad Hafiz Harun berkata jika cuaca panas berterusan sehingga Mei ini, besar kemungkinan air akan susut banyak dan bekalan terpaksa dicatu.

“Paras normal itu 28.10 meter direkodkan semalam. Bagi kegunaan domestik jumlah yang boleh dibekalkan ialah 19.79 juta meter padu sahaja. Ini bermakna bekalan mungkin boleh bertahan selama tiga bulan hingga empat bulan sahaja,” katanya kepada sumber di sini hari ini.

Empangan itu, yang menelan kos RM77 juta dan dibina melalui peruntukan Projek Pembangunan Pertanian Besepadu Malaysia (IADP), siap pada 1992 untuk membekalkan air bagi kegunaan domestik, pertanian dan juga industri.

Beliau berkata bagi tujuan pertanian pula air hanya boleh dibekalkan untuk tempoh satu hingga satu setengah bulan dari sekarang.

”Justeru, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berjimat menggunakan air dalam musim panas yang melanda negara sekarang,’‘ katanya dan menambah semua 10 pintu empangan telah ditutup sejak pertengahan Januari lepas.

Pengarah Jabatan Meteorologi Perlis, Mohd Saharudi Saad berkata Stesen Meteorologi Chuping di Padang Besar mencatatkan bacaan suhu tertinggi di Chuping iaitu 36.8 darjah Celsius pada 8 dan 22 Feb lepas.

Katanya fenomena cuaca panas sekarang dijangka berterusan sehingga hujung Mac ini.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.