Siakap Keli
Gambar Hiasan -Google

Notis Kepada Juruterbang Dikeluarkan Elak Ruang Udara Pakistan – Menteri Pengangkutan

Putrajaya : Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) sudah dikeluarkan kepada semua syarikat penerbangan negara ini supaya mengelak daripada menggunakan ruang udara Pakistan berikutan ketegangan terkini di antara India dan Pakistan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata langkah itu merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan industri penerbangan negara selepas tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

“Memang selepas berlakunya insiden MH17, yang mana jika membabitkan kawasan yang ada konflik pesawat kita akan mengelak menggunakan laluan konflik itu.

“Saya difahamkan NOTAM sudah dikeluarkan dan memang perlu untuk semua pesawat kita mengelakkan ruang udara yang terbabit untuk keselamatan penumpang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Semakan Sekolah Rendah peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Semalam, Penerbangan Awam Pakistan dilaporkan menutup ruang udara kepada kesemua penerbangan komersil berikutan ketegangan yang berlaku di Pulwama, India pada 14 Feb lalu yang menyebabkan lebih 40 orang terbunuh dan ramai tercedera.

Semalam, dilaporkan banyak penerbangan dibatalkan dan dilencongkan selepas Pakistan menutup ruang udaranya dan India pula menutup lapangan terbang.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata walaupun pihaknya masih dalam perbincangan berhubung projek pengembangan pelabuhan Malaysia dengan ahli perniagaan China, kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin melabur untuk membangunkan Pelabuhan Klang.

“Fokus kita ialah Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama di negara kita. Memang benar pelabuhan itu mempunyai kapasiti yang perlu tambah dan potensi cukup besar,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.