Siakap Keli
Gambar Hiasan

Teh Tidak Boleh Ada Pewarna Tiruan, Ini Cara Mudah Untuk Anda Mengesannya

Teh o ais, teh ais ataupun teh o limau ais adalah antara minuman kegemaran ramai rakyat Malaysia. Jika sarapan di waktu pagi, teh tarik antara minuman wajib untuk digandingkan dengan roti canai.

Tetapi tahukah anda sebenarnya serbuk teh berkemungkinan dicampur dengan pewarna dan warna teh yang ada pada air anda sebenarnya tidak original.

Perkara ini didedahkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan di laman facebook mereka.

Menurut perkongsian itu, teh sebenarnya tidak boleh mengandungi sebarang pewarna tambahan kerana ia boleh membahayakan kepada pengguna.

Lalu, bagaimana caranya anda untuk mengesan pewarna tambahan pada serbuk teh yang anda beli?

Guna Air Sejuk

”Jika anda ingin mengetahui kehadiran pewarna pada teh, boleh cuba cara ini. Ambil segelas air sejuk (gunakan gelas lutsinar), kemudian tabur sedikit serbuk teh di atasnya.

”Jika terdapat perubahan warna kekuningan dengan segera, maka ia mengandungi pewarna tiruan,” itulah jawapan yang dikongsikan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan.

Jika anda mendapati ada perubahan sama seperti dinyatakan, anda boleh membuat laporan atau menghubungi Pejabat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan terdekat di kawasan masing-masing.

Sumber: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.