Siakap Keli
BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tidak Perlu Isytihar Darurat Di Pasir Gudang – Hanipa

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Setakat ini tiada keperluan untuk mengisytihar darurat bencana di Pasir Gudang berikutan krisis pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang menjejaskan kesihatan lebih 1,000 orang awam di kawasan itu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin.

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak mengisytiharkan darurat di kawasan itu, usaha pengurusan dan mitigasi yang dijalankan di lokasi itu kini melibatkan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan seolah-olah dalam keadaan darurat.

“Krisis itu sedang ditangani Kerajaan Negeri dan sehingga kini ia (Kerajaan Negeri) tidak meminta kebenaran daripada Kerajaan Pusat untuk mengisytiharkan darurat.

“Buat masa ini kami diberitahu, mereka kata boleh lagi mereka selesai, tidak perlu rujuk kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan darurat di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara, arahan 20,” katanya menggulung perbahasan usul tergempar untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

Usul tergempar itu dikemukakan Hassan Abdul Kasim (PH-Pasir Gudang), dibahaskan oleh empat anggota Parlimen dan digulung enam Menteri berkaitan.

LAGI

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.