Siakap Keli

“Berak Banyak Kali Tak Semestinya Kurus,” Doktor Selar Produk Dakwa Boleh Cuci Usus

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bagi golongan  yang terlampau obses dengan kecantikan, mereka sanggup melakukan apa sahaja perkara tanpa memeriksa kesannya terlebih dahulu kepada tubuh. Proses ‘cuci usus’ juga merupakan salah satu cara yang ramai orang percaya dapat menguruskan badan dalam tempoh yang singkat. Lambakan produk cuci usus di pasaran juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kesedaran kepada orang ramai terhadap proses ‘Cuci Usus ini.

Namun begitu, berapa ramaikah lagi yang sedar bahawa proses ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh dan boleh mencederakan saluran usus? Adakah benar mitos yang kerap kita dengar jika selalu mengamalkan cuci usus ini mampu membuatkan sesorang individu itu menguruskan badannya?  Dr Zainal Adwin ada penjelasannya.

Assalammualaikum dan salam sejahtera pada sahabat-sahabat semua.

Kebelakangan ini kita semakin asyik dengan iklan produk-produk cuci usus yang tular di media sosial. Dilihat produk-produk ini memberikan keputusan positif yang signifikan dan pantas dan ramai yang bertanya pada saya dan rakan rakan Medtweetmy akan kebenaran testimony WA yang dipaparkan/diiklankan ini. Sejauh mana keberkesanan produk-produk ajaib ini? Selamatkah penggunaannya?

Bestnye boleh kurus cepat, kurang kembung/buncit dan tambah tenaga dengan mencuci usus.

Cuci usus mempunyai sejarah permulaan pada zaman Greece dan mula popular pada tahun 1900an. Lama-lama kelamaan, aktiviti ini tidak lagi popular kerana dilihat tiada kesan jangka masa panjang dan juga mungkin membawa mudarat. 

Cuci usus ini merujuk pada perbuatan untuk membersihkan usus besar dari najis dengan menggunakan produk-produk yang secara kasarnya hanyalah ubat untuk penyakit sembelit. Terdapat juga kaedah cuci usus menggunakan air yang dimasukkan terus ke lubang dubur dan diirigasi untuk mengeluarkan najis. Ini agak ekstrem dan berisiko mencederakan usus dan mungkin menyebabkan ia pecah dan boleh dilanda jangkitan kuman dalam abdomen.

Kita fokus pada produk-produk ajaib ini. Cuci usus menggunakan produk merujuk pada aktiviti menelan pil ajaib untuk meransang pergerakan usus ataupun meminum cecair berkepakatan tinggi untuk membawa air keluar dari usus sekaligus membilas usus anda dari najis. Inilah mekanisma cucian usus menggunakan produk yang kita lihat diiklankan sebagai ‘quick-fix’ dalam usaha untuk kurus dan bertambah sihat. Produk seperti ‘Cle*n8, Al*e Ve*a G#l dan sebagainya mengiklankan kesan cuci usus sebagai positif dan mampu menjadikan penggunanya kurus dan kurang lemak.

Saya ingin nyatakan disini bahawa, istilah cuci usus itu wujud dan hanya digunakan sebagai persiapan untuk endoskopi yang mana Pakar Bedah gunakan kamera untuk mengesan KANSER USUS. Tiada kegunaan lain bagi cuci usus. Buang masa!

Mitos Mengenai Proses Cuci Usus

1.  Cuci usus ini boleh kuruskan badan.
Penggunaan produk cuci usus ini pada mulanya akan membawa air keluar dari badan kerana kepekatannya tinggi dan mampu menarik air keluar dari sel dan seterusnya di keluarkan dengan najis. Kurus yang dirasai hanhyalah sementara dan ia tidak berkekalan. Mungkin dalam 3-6 jam sahaja kesannya dan sejurus apabila badan menyesuaikan kembali keadaan dehidrasi dengan menjadikan anda dahaga, berat akan kembali pada paras sebelum cuci usus ini.

Gambar: wowkeren.com

2. Cuci usus boleh kurangkan lemak.
Lemak yang ada dibahagian perut anda adalah di lapisan luaran dan kuantitinya ditentukan oleh pengambilan kalori anda dan juga jenis makanan yang anda makan. Tiada lemak akan keluar dengan cuci usus dan apa yang anda lihat berminyak etc hanyalah ilusi semata.

Gambar: Liputan6.com

Produk cuci usus ini MERBAHAYA.

Produk ini bertindak untuk menarik air keluar dari sel badan anda. Apa bila air kurang di dalam sel, buah pinggang akan bertindak menyimpan air dan mengurangkan air kencing. Apabila keseimbangan ini tidak dapat dikawal lagi, maka buah pinggang akan mengalami kerosakan. Garam galian di dalam tubuh akan tidak seimbang dan mungkin menyebabkan kegagalan buah pinggang yang kekal, ritma jantung yang tidak teratur dan otot yang akan lemah. Perkara-perkara ini akan menyebabkan sahabat-sahabat saya Dr Rafidah Abdullah #MedTweetMY , Khairul Hafidz Alkhair Kamarul Ariffin Nor Sadan Muhammad Izzat Suhazeli Abdullah , Dr Beni dan Mahyuddin Mohamed pening kepala. Bukan apa, komplikasi seperti ini boleh dielakkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Tuan-tuan dan Puan-puan, tiada jalan pintas untuk sihat, disiplin dari segi pemakanan dan senaman adalah kunci pada kesihatan. Tidak dilupakan kesihatan mental yang bermula dari berfikiran positif dan terbuka.
Saya akui memang sukar untuk berdisiplin dalam mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam, tetapi langkah pertama ialah langkah yang paling penting dan kita seharusnya istiqamah dalam perjuangan hidup ini. Jangan terperangkap dengan jalan pintas. Ia tidak berkekalan malah akan memudaratkan.

“Consistency is the key”
“Berak banyak kali tak semestinya akan kurus”

Dr. Zainal Adwin
Pakar Bedah
MedTweetMY

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di