Siakap Keli

”Dia Terpaksa Guna Bantuan Pernafasan Sepanjang Hayat,” Ramai Tak Tahu Bahaya Khidmat Urutan Kepala Dan Tengkuk Selepas Gunting Rambut

Kebiasaan yang boleh dilihat di kedai gunting rambut, perkhidmatan urutan kepala dan tengkuk yang ditawarkan kepada pelanggan selepas selesai menggunting rambut. Tidak dinafikan, menikmati urutan di bahagian kepala, tengkuk pula dikalihkan ke kiri dan kanan hingga berbunyi, menyebabkan tubuh terasa rasa segar dan selesa.

Tetapi tahukah anda, sebenarnya terdapat risiko atau bahaya yang menanti dengan teknik urutan ini? Ramai yang tidak tahu, silap langkah kesannya membawa kepada kecederaan dan kecacatan kekal.

Perkongsian oleh Public Health Malaysia ini mungkin boleh dijadikan ikhtibar bagi anda supaya berhati-hati. Seorang lelaki didakwa terlantar di hospital kerana mengalami kecederaan serius di bahagian tengkuk setelah mendapatkan urutan di kedai gunting rambut. Ikuti perkongsian seperti di bawah.

Seorang lelaki india berusia 54 tahun mendapatkan perkhidmatan gunting rambut di sebuah kedai gunting rambut kegemarannya. 

Seperti mana rutin kebiasaan, selepas selesai menggunting rambut, tukang gunting akan memberi servis tambahan urutan kepala dan tengkuk. 

Kebiasaanya, kepala pelanggan akan dimanipulasikan ke kiri dan ke kanan sehingga ada bunyi “ meletup” atau “crakk” .

Gambar Sekadar Hiasan

Malang buat lelaki ini, selepas urutan itu, beliau mengadu sukar untuk bernafas. Mangsa di kejarkan ke hospital dengan ambulan.

Pemeriksaan MRI mendapati, terdapat kecederaan serius di tulang tengkuk mangsa. Kecederaan ini menyebabkan saraf phrenic tercedera, iaitu saraf yang berfungsi untuk mengawal diagrama iaitu sejenis otot yang membantu pernafasan.

Lelaki malang tersebut terlantar di hospital untuk tempoh masa yang lama dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan sepanjang hayat.

Perkara ini bukan main main, urutan tengkuk yang dilakukan di kedai gunting ini boleh menyebabkan pelbagai kecederaan lain. 

Tulang tulang, sendi, otot dan saraf di tengkuk boleh mengalami kecederaan kekal yang mengakibatkan kecacatan untuk jangka masa panjang.

Selain itu, urutan tengkuk juga boleh menyebabkan saluran darah di tengkuk tercedera. Dalam kecederaan yang lebih serius, ia boleh mengakibatkan pendarahan dam strok.

Sekiranya terlalu kerap melakukan urutan manipulasi tengkuk, untuk jangka masa panjang ia akan mengakibatkan osteoarthritis pada sendi tengkuk.

Walaupun urutan tengkuk seperti ini mungkin mendatangkan kelegaan untuk sesetengah individu, untuk kebaikan dan keselamatan jangka masa panjang, ianya adalah amat TIDAK DIGALAKKAN. 

Tengkuk adalah satu struktur yang stabil, tetapi sebarang manipulasi keterlaluan dan pergerakan yang terlalu kasar boleh mendatangkan kecederaan kekal.

Sumber : Public Health Malaysia

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.