Siakap Keli

(Video) Rumah Dibom Sebelum Majlis Perkahwinan Dan Sukarelawan Terbunuh, Keadaan Di Gaza Selepas Serangan Udara Israel

Media antarabangsa beberapa hari lalu melaporkan Angkatan Udara Tentera Israel telah melakukan serangan udara terhadap beberapa sasaran di Gaza selepas mendakwa Hamas telah melakukan serangan roket ke arah wilayahnya.

Bagaimanpun, kedua-dua pihak dikatakan telah pun mencapai persetujuan genjatan senjata yang diusahakan oleh Mesir.

Namun begitu, dalam serangan udara yang dilakukan, Aqsa Syarif dan Aman Palestin, dua buah badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia turut melaporkan beberapa buah kisah duka yang menimpa rakyat Palestin khususnya di Gaza selepas insiden tersebut.

Menurut Aman Palestin baru-baru ini seorang sukarelawan paramedik, Sajid Mezher terbunuh selepas menjadi sasaran penembak hendap tentera Israel ketika memberikan bantuan kepada penduduk-penduduk di Kem Pelarian Dheisheh, Bethlehem.

Dalam insiden berbeza, Aman Palestin turut memberitahu bahawa berlaku pertempuran diantara remaja lelaki Palestin dengan Tentera Israel yang menyaksikan 6 orang remaja Palestin tercedera.

Kumpulan remaja berkenaan dipercayai melakukan bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa Israel yang memenjarakan rakyat Palestin sebelum ini.

Menurut kemas kini itu lagi, sekurang-kurangnya 116 orang tentera dan 20 orang polis Israel turut menyerbu masuk kawasan halaman Masjid Al-Aqsa. Manakala dalam operasi berasingan yang dilakukan tengah malam di Tebing Barat, pihak berkuasa Israel turut menahan seramai 16 orang penduduk tempatan.

Sementara itu, Aqsa Syarif pula berkongsi kejadian malang yang menimpa seorang wanita apabila rumahnya musnah dalam serangan udara, seminggu sebelum majlis pernikahan anak perempuannya.

Video wanita berkenaan yang turut berkongsikan kesediahan selepas menjadi mangsa serangan boleh anda saksikan dibawah.

Aman Palestin turut menyeru rakyat Malaysia supaya terus mendoakan keselamatan penduduk-penduduk di Palestin serta menghulurkan bantuan melalui tabung-tabung yang disediakan oleh NGO tersebut.

Sumber: Aqsa Syarif, Aman Palestin

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.