Siakap Keli

Saya Dimaklumkan Kemungkinan Adib Hilang Ingatan – Polis

Seorang pegawai penyiasat kanan memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini beliau dimaklumkan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan hilang ingatan berikutan kecederaan yang dialami ketika insiden  di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Pegawai Penyiasat Kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, ASP Lew Keng Joe, berkata maklumat itu diberitahu Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorosik Institut Jantung Negara,  Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, yang juga saksi ke-14,  ketika beliau melawat Muhammad Adib pada 12 Dis lepas pukul 8.45 pagi.

“(Pada masa itu), saya nampak mangsa (Adib) sedar tapi  tak boleh cakap ada hos dalam mulut,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin.

Beliau berkata pada waktu itu, pihaknya hanya nampak badan mangsa bergerak kiri ke kanan,  tetapi tidak boleh bercakap.

Saksi ke-28 itu berkata Dr Mohamed Ezani kemudian memberitahu anggota bomba itu mungkin hilang ingatan kerana tekanan darahnya rendah.

Faten Hadni: Pada pemerhatian ASP, macam mana keadaan Muhammad Adib?

Lew : Saya nampak Muhammad Adib sedar tetapi tidak boleh bercakap kerana mulutnya ada hos. Saya kemudian minta izin Dr Mohamed Ezani untuk bertanyakan soalan kepada Adib.

Faten Hadni : Apa pertanyaan kepada Adib?

Lew : Saya tanya Adib dilanggar ke atau dipukul tetapi Adib tidak menjawab dan hanya menggerakkan badan ke kiri dan ke kanan.  Saya nampak Adib beremosi dan cuba menanggalkan hos tetapi dihalang jururawat.

Saksi itu yang telah  berkhidmat sebagai polis selama 14 tahun  berkata pihaknya berjumpa Muhammad Adib sebanyak tiga kali ketika menerima rawatan iaitu pada 28 Nov dan  12 serta 17 Dis lepas.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN pada 17 Dis lepas.

Prosiding inkues  di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Rabu.

Sumber : BERNAMA

fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di