Siakap Keli
Gambar Sekadar Hiasan - Google

Golongan Anti-Vaksin Di Negara Ini Kurang Satu Peratus – Menteri

Persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan golongan yang menolak pengambilan suntikan vaksin imunisasi mewakili kurang satu peratus daripada penduduk di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata ketika ini tidak ada sebarang organisasi yang dibentuk bagi mewakili golongan antivaksin tersebut seperti di luar negara.

“Kita faham adanya golongan antivaksin dalam masyarakat. Kalau dibandingkan dengan negara-negara luar, golongan antivaksin ini lebih tersusun, tapi buat sementara waktu di negara kita tidak ada sebarang organisasi yang mewakili mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Adham Baba (BN-Tenggara) yang ingin tahu peratusan golongan antivaksin yang telah dikaji kementerian di negara ini.

Menurut Dr Lee,  kementerian menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat sahih kepada masyarakat mengenai pengambilan vaksin imunisasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, laporan jawatankuasa kerja berhubung kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan imunisasi bayi dan kanak-kanak di negara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan dalam waktu terdekat.

Ketika ini katanya penelitian masih dijalankan untuk mengkaji pelaksanaan dan implikasi yang berkaitan.

— BERNAMA

Nur Farra