Siakap Keli

Muhamad Adib Mungkin Ditarik Keluar Dari Van EMRS, Dihentak Pintu – Saksi

SHAH ALAM, 9 April (Bernama) — Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan besar ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada tahun lalu.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, 62, berkata mangsa juga mungkin dihentak ke pintu van berkenaan sekuat hati dengan daya lebih 3,000 Newton atau lebih dari tiga orang sehingga menyebabkan patah pada tulang rusuk.

Saksi ke-29 itu berkata, ia berdasarkan video lakonan semula kejadian dan kesan corak kecederaan pada mangsa.

“Mangsa mati akibat kecederaan parah paru-paru kiri dan kanan akibat hentakan-hentakan trauma tumpul. Hentakan-hentakan trauma tumpul bukan akibat perbuatan diri sendiri tetapi akibat perbuatan dua atau lebih orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada prosiding hari ke-23 inkues kematian anggota bomba itu.

Terdahulu, Dr Shahrom berkata, mangsa mungkin diseret keluar dari van dinaikinya berdasarkan luka sagat melintang pada bahagian belakang badan selain butang satu, dua dan empat yang didapati tercabut daripada baju celoreng anggota bomba itu.

“Kecederaan juga menunjukkan tidak mungkin mangsa keluar sendiri dari van berkenaan,” kata saksi itu yang pernah memberi keterangan pada inkues kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed yang terjatuh dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia Kuala Lumpur pada 2011.

Saksi itu berkata, beliau juga berpendapat bahawa daun pintu EMRS diterajang dengan kuat sehingga menyebabkan luka sagat dan patah tulang tulang rusuk di dada kanan pada atas dan lebam paru-paru kanan.

“Daun pintu EMRS sekali lagi diterajang menyebabkan dua lebam pada bahagian hadapan atas lengan kanan mangsa,” katanya sambil menambah tidak mungkin mangsa terhimpit antara jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van EMRS kerana ia akan menyebabkan kesan kecederaan yang berlainan.

“Jika terhempit, berkemungkinan besar mangsa akan mati di situ juga…saya membuat rumusan berhubung apa yang berlaku pada Muhammad Adib berdasarkan dokumen, material dan video diperoleh daripada peguam Syazlin,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.- BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di