Siakap Keli

Demi Cintanya Pada Agama, Wanita Ini Dedikasikan Separuh Hidupnya Untuk Siapkan Al-Quran Sulaman

Al-Quran tulisan tangan dengan sulaman akhirnya berjaya disempurnakan setelah mengambil masa selama 32 tahun untuk dihasilkan oleh seorang wanita berasal daripada Pakistan, Naseem Akhtar.

Malah, menurut Naseem, Al-Quran berkenaan adalah yang pertama seumpamanya dihasilkan melalui teknik sulaman dan sebagai bukti cintanya terhadap agama Islam.

Mempunyai berat 60 kilogram, Nassem memberitahu beliau hanya menggunakan bahan sulaman daripada kapas dan mengunakan kain dianggarkan sepanjang 300 meter serta benang anggaran panjang 25 ribu meter.

Beliau turut menggunakan sulaman benang berwarna emas dan bingkai daripada sutera sekaligus membuatkan Al-Quran tersebut lebih indah.

Naseem yang kini berusia 60-an memberitahu telah memulakan projek tersebut sejak usia muda lagi. Beliau turut berkongsi untuk tempoh 32 tahun, dia tidak mendapat bantuan daripada sesiapa dan menghasilkannya dengan menggunakan tangan selama ini.

Beliau membahagikan proses menyiapkan Al-Quran secara sulaman kepada dua fasa iaitu fasa pertama menyalin semula ayat Al-Quran di atas kain yang menelan masa selama 15 tahun dan fasa menyulam yang mengambil masa selama 17 tahun.

Tambahnya lagi, beliau hanya mampu menulis ayat Al-Quran sebanyak 2 atau 3 baris sahaja sehari kerana perlu memastikan tidak berlaku sebarang kesilapan selain perlu sentiasa berada dalam keadaan suci.

Naseem memulakan projek tersebut pada Ogos 1987 dan menyempurnakannya pada Januari 2018. Al-Quran berkenaan juga turut dipamerkan di Pusat Pameran Al-Quran berdekatan Masjid Nabawi di Arab Saudi baru-baru ini.

Al-Quran berkenaan dibahagikan kepada 3 bahagian dengan setiap bahagian mempunyai 3 juzuk Al-Quran.

Sumber: Urdu Point

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.