Siakap Keli
Gambar: bicaramentari.blogspot.com

“Ulat Resdung Sebenarnya Tidak Wujud,” Doktor Ini Menjelaskan Fakta Tentang Punca Resdung Yang Sebenarnya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ramai diantara kita yang pastinya masih tidak tahu cara rawatan yang betul untuk merawat penyakit resdung ini. Lambakan produk-produk yang murah dan tidak diluluskan kementerian kesihatan serta kurangnya info dalam mendapatkan rawatan resdung ini membuatkan ramai diantara kita memilih untuk tidak berjumpa dengan doktor pakar bagi mendapatkan penyelesaian yang sebetulnya.

Ada juga yang memilih untuk mendapatkan rawatan secara tradisional menggunakan kain putih yang dinyalakan api sambil diletakkan pada keseluruhan muka secara berperingkat. Selepas selesai sahaja rawatan tersebut, akan timbul seperti habuk halus kekuningan yang didakwa resdung di kulit muka.

Ada juga rawatan resdung tradisional ini yang didakwa berkesan kerana keluarnya ulat yang dikatakan ulat resdung timbul di muka pesakit selepas mereka selesai menjalani sesi rawatan. Jadi, sejauh mana kesahihan serta benarkah ulat resdung itu memang wujud atau hanya sekadar mitos yang digembar-gemburkan sahaja.

Berikut merupakan penerangan oleh Doktor Mohd Shaiful Nizam seorang pakar perubatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian tentang apa itu resdung serta wujudkah ulat yang dikatakan penyebab kepada penyakit resdung ini.

Apakah itu RESDUNG? Adakah ULAT punca kepada RESDUNG? Dan adakah wujud ULAT RESDUNG ini?

Kini, MITOS tentang RESDUNG TERBONGKAR..!! Dalam masa 24 jam, penulisan ini telah berjaya dikongsi hampir 5K di laman Twitter saya.

Apakah itu RESDUNG?

Mengikut kamus DBP, ia definisikan sebagai penyakit hidung yang disebabkan oleh radang mukosa di bahagian hidung.

Mengikut istilah Melayu, ia dimaknakan sebagai penyakit alahan hidung.

Jadi, apakah maksud yang TEPAT bagi perkataan RESDUNG ini?

Dalam istilah Perubatan pula, dapat disimpulkan penyakit resdung ini dikategorikan kepada 2 jenis iaitu :

1) Alahan Hidung ( Allergic Rhinitis)
2) Radang Sinus ( Sinusitis)

 Alahan Hidung (Allergic Rhinitis)

Gambar: Black Diamond Pharmasave

Pada asasnya, ia bukanlah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan kuman, tetapi merupakan suatu tindak balas hidung pada alahan tertentu seperti makanan, debu persekitaran, hama atau bulu binatang.

Sesetengah manusia mengalami alahan yang tinggi yang menyebabkan sistem imun badan bertindakbalas secara berlebihan daripada orang yang normal. Ia dikenali sebagai Hypersensitiviti.

Reaksi inilah menyebabkan hidung membengkak & mengeluarkan cecair hingus yang berterusan.

Gejala utama Alahan Hidung

 Bersin yang berterusan, terutamanya waktu pagi
 Hidung kerap berair
 Hidung tersumbat
 Gatal-gatal pada kawasan hidung & mata

Menurut kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar kesihatan AS, hanya 25% alahan adalah disebabkan oleh keturunan, 75% lagi adalah disebabkan oleh faktor persekitaran.

Tahukah anda, WHO menyatakan kadar peningkatan manusia yang mempunyai alahan meningkat 25 kali ganda sejak 10 tahun ini.

Diagnosis?

Gold standard adalah melalui ujian Skin Prick Test. Ujian ini adalah untuk kenal pasti spesifik alahan yang anda hidapi.

Seterusnya pemeriksaan endoskopi dilakukan untuk lihat struktur anatomi hidung yang normal & tidak normal.
Rawatan Alahan Hidung?

Rawatan utama adalah HINDARKAN allergen & kawasan yang berdebu.

Selain itu, Doktor akan memberi samada ubat antiHistamine atau Spray hidung atau kedua2 nya sekali, bergantung kepada peringkat yang dialami ( intermittent atau persistent).

 Apakah itu Radang Sinus ( Sinusitis)

Gambar: Melbourne ENT Group

Paranasal sinus adalah rongga udara yang diselaputi oleh mukosa yang terdapat dalam tengkorak kepada. (Maxillary, ethmoid, frontal,sphenoid)

Jangkitan virus/bakteria/kulat akan menyebabkan radang pada sinus samada radang Akut atau Kronik.

Gejala sinusitis

 Sakit muka pada bahagian sinus yang terlibat
 Hingus pekat kekuningan & berbau
 Hidung tersumbat
 Kurang deria bau
 Sakit kepala & sukar bernafas ( teruk)

Diagnosis?

Kebiasannya pesakit akan menjalani pemeriksaan endoskopi untuk melihat nanah yang ada dan komplikasi yang berlaku seperti polyps.

Dalam keadaan Radang Akut, imbasan xray sinus akan dilakukan untuk membantu dalam diagnosis.
Rawatan Sinusitis?

Untuk Radang Akut, akan diberikan antibiotik yang sesuai disamping ubat antiHistamina & spray hidung

Pembedahan akan dilakukan jikalau rawatan konservatif (ubat) ini gagal & selepas dikesan melalui imbasan CT Scan sinus.

Komplikasi yang boleh berlaku jikalau Radang Akut sinusitis tidak dirawat dengan betul boleh merebak ke kawasan mata & juga merebak ke dalam otak.

KESIMPULAN

Jadinya, RESDUNG ini merujuk kepada Alahan hidung atau sinusitis? Terpulang pada anda.

Apa yang penting, Sila dapatkan rawatan yang BETUL, berjumpa dengan Doktor yang BERTAULIAH, bukan Jurujual produk palsu atau rawatan berbahaya & tak diiktiraf oleh KKM.

KESIMPULAN TERAKHIR

Ulat Resdung sebenarnya TIDAK WUJUD dan Ulat ini juga bukan penyebab utama kepada RESDUNG.

Yang ada ulat dalam dalam resdung ini mungkin setelah berlaku komplikasi yang sangat teruk, yang tidak mendapatkan rawatan yang sebetulnya.

Sumber: Dr. Mohd Shaiful Nizam

Aqmal Ezany

I write what is right