Siakap Keli

Sembilan Jenis Makanan Tidak Boleh Dimakan Mentah Yang Perlu Anda Tahu, Nombor ‘Last’ Tu Selalu Orang Buat

Salah satu faktor yang mempengaruhi kesihatan diri adalah aspek pemakanan seseorang. Makanan yang bersih, sihat dan halal adalah perlu sekiranya anda mahu memastikan kondisi tubuh sentiasa berada pada tahap terbaik.

Seperti yang dikongsikan oleh Asyikin Md Isa daripada Hello Doktor, sekurang-kurangnya terdapat 9 jenis makanan yang tidak boleh dimakan mentah bagi mengelakkan penyakit tertentu.

Walaupun semua makanan berkenaan mempunyai khasiat yang tinggi, namun anda perlu memastikan ia perlu dimasak dengan sempurna sebelum dijamah.

Apakah 9 makanan tersebut? Jom baca perkongsian beliau di bawah.

Bukan semua makanan, termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dimakan secara mentah. Terdapat makanan yang anda tidak boleh makan secara mentah kerana mengandungi racun sebelum dimasak.

Tetapi bukan semua makanan bertoksik yang tidak dimasak boleh menyebabkan kematian kepada individu dewasa yang sihat.

Namun, ia mungkin menjejaskan tahap kesihatan seperti sakit perut yang mungkin berlaku pada tahap yang ringan sehingga sederhana. Berikut adalah beberapa senarai makanan tidak boleh dimakan mentah.

9 jenis makanan tidak boleh dimakan mentah

Kacang merah

Kacang mentah mengandungi protein yang dikenali sebagai lektin yang akan dipecahkan apabila dimasak. Bukan semua lektin adalah toksik, sesetengahnya membawa manfaat.

Lektin yang terdapat pada kacang merah – dipanggil phytohemagglutinin – mendatangkan bahaya pada dos yang tinggi. Sejumlah kacang mentah ini boleh menyebabkan masalah gastrousus seperti loya dan muntah.

Kentang

Kentang mentah adalah beracun kerana sebatian yang dipanggil solanine, yang berisiko menyebabkan kematian. Malahan kentang yang masih ada warna hijau – walaupun hanya tompokan kecil pada kulitnya – atau kentang yang mula mengeluarkan anak, mengandungi kandungan solanine yang tinggi. Simptom keracunan akibat kentang adalah seperti sakit perut, sakit kepala dan lumpuh.

Keladi

Merupakan ‘sepupu’ kepada kentang. Mengandungi lebih banyak serat berbanding kentang dan adalah sumber yang baik untuk kalium, vitamin C, kalsium, vitamin E, vitamin B dan mineral surih. Daun keladi juga sumber serat yang baik – rasa seperti bayam cuma tekstur lebih keras.

Ia merupakan makanan hebat yang kaya dengan nutrien tetapi pastikan anda masak dengan sempurna terlebih dahulu sebelum memakannya. Keladi mentah mengandungi kalsium oksalat – yang akan membuat mulut menjadi kebas dan jika diambil dalam jumlah yang banyak, anda akan merasa seperti tercekik.

Toksin ini juga menyumbang kepada masalah batu karang, kerengsaan kulit – jadi kendalikan keladi mentah dengan sarung tangan.

Cendawan

Mengandungi pelbagai manfaat termasuk bersifat antioksidan, vitamin B dan kalium. Namun, dipercayai, untuk mengeluarkan semua manfaat yang terkandung dalam cendawan, ia perlu dimasak terlebih dahulu. Cendawan mentah amat sukar untuk dicerna dan mengandungi kandungan toksin yang tinggi.

Malah, jika anda memakan cendawan mentah, ia berkemungkinan akan menyebabkan gangguan pada gastrousus anda.

Ayam

Pernahkah anda terfikir untuk memakan ayam mentah? Jika pernah, lupakan sahaja keinginan anda itu. Ini kerana ayam, merupakan antara makanan tidak boleh dimakan mentah kerana dianggap sebagai antara makanan utama penyebab keracunan makanan.

Makan ayam mentah, meningkatkan risiko anda untuk dijangkiti bakteria salmonella dan campylobacter. Antara simptom yang akan dialami jika memakan ayam mentah adalah loya, muntah, kekejangan perut, dan cirit-birit.

Daging kisar

Sama seperti ayam, adakah sesiapa yang makan daging kisar secara mentah? Daging kisar mentah amat berbahaya untuk dimakan terutama kerana ia terdedah kepada jangkitan E.coli. Bakteria E.coli boleh hidup di dalam suhu sejuk beku di dalam peti sejuk dan suhu rendah sekitar 44°.

Tepung

Pasti anda di antara anda mempunyai tabiat gemar memakan, doh biskut atau bancuhan kek yang belum dimasak bukan? Jika ya, sebaiknya anda hentikan tabiat anda itu.

Bancuhan dan doh yang bukan sahaja mengandung telur mentah itu, malah tepung yang tidak dimasak itu mungkin boleh menyebabkan anda sakit perut.

Ini kerana perjalanan tepung itu dari proses penghasilan sehingga ke rak jualan, mungkin bersentuhan dengan patogen seperti E.coli yang hanya dapat disingkirkan apabila dimasak, sama seperti daging kisar dan salad romaine.

Taugeh

Taugeh merupakan tumbuhan yang menjadi antara makanan tidak boleh dimakan mentah. Ini kerana proses tumbesarannya berlaku dalam keadaan yang lembap yang berisiko untuk terdedah kepada bakteria seperti salmonella dan E.coli.

Bakteria ini tidak akan boleh disingkirkan dengan hanya membasuh tetapi ia perlu dimasak dengan sempurna untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

Telur

Telur merupakan sumber protein yang hebat. Tetapi pengambilan secara mentah tidak akan membawa manfaat sepenuhnya kerana protein yang terkandung dalam telur hanya akan dapat diserap sepenuhnya apabila dimasak. Selain itu, telur mentah juga berisiko membawa racun salmonella.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.