Siakap Keli

“Hanya Satu Akan Disimpan,” Masjid Dirobohkan Lagi, Penduduk Takut Nak Menunaikan Ibadah

Sebuah masjid di wilayah Gansu, China telah dirobohkan sebahagiannya berikutan kempen menentang tradisi Islam di kawasan tersebut.

Pihak berkuasa secara sistematik telah menentang minoriti Islam di negara itu terutamanya di wilayah barat laut Xinjiang, dimana sekitar satu juta orang etnik Uighur ditahan di kem tahanan.

Langkah penindasan itu telah melibatkan beberapa buah masjid lain serta penyingkiran simbol-simbol Islam di Wilayah Ningxia dan Gansu yang menempatkan sejumlah besar masyarakat Muslim.

Pada 9 April lalu, pihak berkuasa telah merobohkan sebahagian masjid yang terletak di kampung Gazhuang, Wilayah Autonomi Linxia Hui, Gansu sehingga menghancurkan kubah emas sebagai simbolik masjid tersebut.

Orang awam dan penduduk turut diberi amaran untuk tidak memuat naik sebarang video atau gambar pemusnahan masjid yang dibina tidak kurang dari sebulan lalu.

Walau bagaimanapun, muncul beberapa bukti kemusnahan itu di Twitter menunjukkan kubah yang telah rosak, serpihan bumbung berselerak serta sebuah kren di hadapan masjid sambil beberapa penduduk dilihat sedang meratapi insiden tersebut.

Individu yang merakam kejadian itu telah menghantar rakaman tersebut kepada seorang wartawan yang menggunakan nama Erkin Arzat.

Menurutnya, nama itu digunakan sebagai melindungi ahli keluarga yang masih hidup di Xinjiang namun dia dimaklumkan individu yang merakam video tersebut telah ditahan.

Sumbernya memberitahu bahawa kerajaan akan menghapuskan setiap satu masjid di setiap bandar dan daerah.  Walau bagaimanapun, hanya satu masjid akan disimpan bertujuan kedatangan organisasi antarabangsa yang datang untuk menemu-ramah komuniti Islam di sana.

Sumber: Observes France