Siakap Keli

‘Geng Adik-Beradik Mail’ Tumpas, Dadah Bernilai RM302,000 Dirampas

Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja selepas menahan lima individu dan merampas dadah bernilai RM302,000 dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini dan Pulau Pinang, Rabu lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata semua individu terbabit dipercayai anggota ‘Geng Adik-Beradik Mail’ ditahan pasukan JSJN Bukit Aman antara 7 pagi dan 1.40 petang.

“Dalam serbuan pertama di Kuala Nerang, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita kedua-duanya berusia lingkungan 30-an yang menaiki kenderaan jenis Toyota Harrier.

Gambar : Bernama

“Pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan tersebut menemui 90 ketulan mampat dadah disyaki ganja. Siasatan lanjut mendapati suspek lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau namun hasil ujian saringan air kencing kedua-dua suspek negatif,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata serbuan kedua pula dibuat ke atas dua suspek lain melibatkan seorang lelaki berusia 37 tahun dan seorang wanita berumur 32 tahun yang berada dalam kenderaan jenis Perodua Myvi di Jalan Langgar, di sini.

Beliau, bagaimanapun berkata pemeriksaan polis ke atas suspek dan kenderaan tersebut tidak menemui sebarang bahan terlarang.

Kamarulzaman berkata serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di Permatang Pauh, Pulau Pinang, dan polis menahan seorang lelaki berumur 65 tahun dipercayai ketua kumpulan tersebut.

Gambar : BERNAMA

Katanya polis turut menemui 26 ketulan dadah jenis ganja di rumah itu dan suspek yang positif dadah didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Kamarulzaman berkata keseluruhan dadah dirampas sebanyak 116 ketulan mampat dengan berat 115.6 kilogram itu mampu disalah guna 150,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran gelap.

“Kita percaya dadah ini diperoleh dari negara jiran dan hasil maklumat serta bantuan daripada Polis Thailand kita berjaya menyekat sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman seminggu sehingga 1 Mei bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber : BERNAMA

 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.