Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

“Nangis Budak Ni Dapat Basikal,” Sebak, Baru Darjah 1 Jalan 2KM Tiap Hari Cari Lauk Buat Ayah Yang Lumpuh

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tidak semua orang bernasib baik dilahirkan dalam keluarga yang serba mampu. Ada yang terpaksa mengikat perut, merasai jerih payah hidup dari usia yang masih kecil.

Seperti lima beradik ini yang menggalas tanggungjawab menjaga bapa mereka yang lumpuh kerana strok. Tugas ketua keluarga digalas oleh si abang yang masih bersekolah di tingkatan tiga. Biarpun tanpa ibu, mereka mampu menguruskan semuanya sendiri walau dalam keadaan serba daif.

Anak-anak ini kesemuanya matang sebelum usia. Bayangkan si adik yang berusia 7 tahun sudah faham erti tanggungjawab. Anak ini berulang alik setiap hari sejauh 2km bagi membeli makanan buat si ayah tanpa merungut. Ikuti perkongsian oleh Cikgu Fadli Salleh seperti di bawah. Moga sedikit sebanyak menyuntik kesedaran buat semua agar mensyukuri nikmat yang diberikan Tuhan.

“Awak nak basikal tak?” tanya Cikgu Ariff pada murid ini.

Kelu. Terkesima dia. Satu patah perkataan tidak terungkap. Hanya air mata berjuraian menitis di pipi. Guru-guru lain termasuk Guru Besar turut sama menangis.

Gambar : FB Mohd Fadli Salleh

Anak ini, anak yang sangat baik. Dia menjaga ayahnya yang stroke setiap hari. Berjalan kaki dia ke kedai lebih 2km setiap hari untuk membeli lauk buat ayah sebelum menyuap pula.

Nasi mereka pandai masak sendiri. Namun memasak lauk pauk, mereka tidak pandai lagi.

5 orang adik-beradik menjaga ayah lumpuh di rumah. Yang sulung baru tingkatan 3. Yang kedua yang ini. Murid lelaki baru di tahun enam.

Petang tadi waktu abang aku pergi ziarah mereka, adik perempuan mereka yang di tahun satu itulah yang keluar membeli lauk. Rujuk gambar ke dua tu.

Gambar : FB Mohd Fadli Salleh

Budak sekecil itu berjalan kaki lebih 2km hanya untuk beli lauk buat ayah. Abangnya di tahun enam tunggu di rumah masak nasi dan jaga ayah.

Yang sulung keluar mencari apa-apa pekerjaan untuk sedikit wang saku. Ibu mereka meninggalkan mereka sudah lama. Tinggal la anak-anak ini terkontang kanting menjaga ayah yang sakit. Entah ke mana pergi, usah ditanya.

Keluarga kedua yang abang aku ziarah, pun tidak kurang sedih kisahnya. Anak yang tinggal bersama atuk dan menjaga diri sendiri tanpa ada kasih ayah dan ibu.

Ah, tidak tertulis semua kisah mereka. Tidak tergambar betapa mereka selama ini tabah menghadapi liku-liku hidup.

Sebab itu bila ditanya aku, adakah aku perlu sumbangan lagi. Jawapannya ya. Aku sangat perlu kerana Dana Kita bergerak saban hari dan memerlukan belanja yang besar saban bulan.

Setiap keluarga pula kami bantu terus. Kami sendiri sampai. Aku takkan layan mesej dan pm minta duit. Kami turun dan lihat sendiri, baru kami bantu mengikut apa yang munasabah dan kemampuan dana kecil kami.

Terima kasih banyak-banyak kepada semua para penyumbang. Kerana sumbangan kalianlah kami semua mampu turun padang dan menyantuni golongan seperti ini.

Kita mungkin tidak ditakdirkan untuk bersua di dunia. Namun aku berdoa pada Tuhan agar kita saling menyapa di taman-taman syurga. Amin.

Tidak banyak tapi sentiasa.

Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

#DanaKITA
#MFS

Sumber : Mohd Fadli Salleh

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.