Siakap Keli

Korea Utara Lancar Peluru Berpandu Jarak Dekat Ke Arah Laut Jepun

Seoul : Korea Utara pada Sabtu telah melancarkan peluru berpandu jarak dekat yang tidak dikenali ke arah Laut Timur, atau lebih dikenali sebagai Laut Jepun, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS).

Menurut kenyataan itu, Korea Utara “telah melepaskan tembakan peluru berpandu yang tidak dikenali itu secara bertalu-talu dari pekan Wonsan yang terletak di pantai timur ke arah timur laut antara pukul 9.06 pagi dan 9.27 pagi hari ini.”

Peluru berpandu itu terbang dalam jarak antara 70 kilometer hingga 100 kilometer, kata JCS sambil menambah bahawa pihak berkuasa Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) kini menganalisis butiran peluru berpandu tersebut.

Pelancaran terkini itu dibuat kira-kira 17 bulan selepas negara komunis tersebut melancarkan peluru berpandu balistik antara benua Hwasong-15 (ICBM) pada akhir November tahun lepas, dengan mendakwa bahawa ia berupaya meletakkan keseluruhan tanah besar AS dalam jaraknya.

“Pihak tentera kami memantau rapat pergerakan Korea Utara dan telah mengekalkan kedudukan berjaga-jaga dengan penyelarasan rapat AS,” menurut JCS.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.