Siakap Keli
Gambar: FB Nik Mohamad Abduh

“Ia Mengganggu Keberkatan Bulan Ramadan,” Nik Abduh Tak Setuju Kerajaan Negeri Arah Tutup Kedai Makan Pada Waktu Malam

Sepertimana yang kita ketahui, negeri Kelantan terkenal dengan kekuatan pegangan ajaran Islam yang kuat. Majoriti penduduk atau rakyat Kelantan juga terdiri daripada orang Islam. Boleh dikatakan, kesemua yang dituntut oleh ajaran Islam dipandang serius dan diambil berat di negeri itu.

Justeru daripada itu, satu surat arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang bertarikh 6 Mei 2019 telah tular dan menjadi bahan bualan ramai sehinggakan ianya menarik perhatian ahli politik dari negeri itu sendiri kerana tidak begitu bersetuju dengan arahan yang terkandung di dalam surat tersebut.

Dalam notis yang ditandatangani sendiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Dato’ Haji Adnan Bin Hussin itu terkandung sebuah arahan yang menggesa supaya pengusaha kedai makan dan restoran di seluruh negeri Kelantan itu supaya menghentikan sementara segala aktiviti perniagaan yang bermula daripada jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan ramadhan.

Seperti yang difahamkan didalam notis tersebut, arahan itu bertujuan untuk menggalakkan umat Islam di negeri itu menunaikan solat sunat terawih secara berjemaah di masjid dan surau yang bakal berlangsung pada waktu tersebut sepanjang bulan ramadhan ini.

Gambar: FB Nik Mohamad Abduh

Walau bagaimanapun, arahan tersebut dilihat sebagai tidak wajar oleh segelintir netizen dan para peniaga yang menetap di Kelantan. Ini termasuklah Nik Mohamad Abduh yang merupakan seorang ahli politik di negeri itu. Beliau telah melafazkan rasa tidak setujunya dengan memuat naik satu posting dan berharap agar arahan tersebut dapat dipertimbangkan semula. Berikut adalah posting yang telah dimuat naiknya di akaun Facebook miliknya:

Saya ditunjukkan surat arahan ini selepas solat Tarawih tadi. Selepas sahkan kebenarannya, saya dengan ini berharap dan berdoa agar arahan ini ditarik balik.

Ia mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadhan yang penuh berkat. Rezeki yang halal dan baik di bulan Ramadhan wajar digalakkan, bukan dihalang.

Pada bulan penuh kelebihan ini, umat Islam adalah digalakkan menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah al Rasul صلى الله عليه وسلم.

“Barang siapa yang diharamkan oleh Allah dengan keberkatan dan kelebihan di bulan Ramadhan, maka sesungguhnya dia telah diharamkan daripada segala kebaikan.” – Maksud hadis al Rasul

 

Sumber: FB Nik Mohamad Abduh

Aqmal Ezany

I write what is right