Mendapat penyakit kanser bukan bermakna dunia anda akan berakhir. Pada hari ini, dunia perubatan moden sudah menjumpai pelbagai cara untuk merawat dan melewatkan penyebaran sel setiap penyakit termasuklah penyakit kanser.
Salah satu penyakit kanser yang selalu disebut-sebut dan dianggap mimpi ngeri oleh golongan wanita ialah kanser ovari. Secara ringkas, kanser ovari berasal dan berpunca daripada ovari itu sendiri. Kebanyakan pesakit tidak didiagnosis sehingga sel-sel kanser telah merebak ke pelvis dan abdomen, yang menjadikannya sukar untuk dirawat, bahkan boleh membawa maut.
SIMPTOM AWAL KANSER OVARI:
Bahkan ia sering kali disalah anggap dengan sembelit. Jika anda mempunyai latar belakang yang menghidap kanser ovari atau kanser payudara, jangan anggap remeh setiap tanda awal ini dan segera berjumpa dengan doktor untuk pengesahan melalui ujian pengimejan, ujian darah mahupun biopsi untuk diagnosis yang tepat.
- Kembung perut.
- Bengkak pada kawasan abdomen.
- Cepat kenyang.
- Kurang berat badan.
- Ketidakselesaan pelvis.
- Masalah dengan pergerakan usus.
- Kekerapan kencing.
PILIHAN RAWATAN SETIAP PERINGKAT KANSER OVARI:
Terdapat 4 peringkat kanser ovari:
- Peringkat 1: Kanser terhad pada 2 ovari.
- Peringkat 2: Sel kanser telah merebak ke kawasan pelvik lain.
- Peringkat 3: Sel kanser telah merebak ke kawasan abdomen.
- Peringkat 4: Sel kanser telah merebak ke luar kawasan pelvik dan abdomen.
Pilihan rawatan termasuk pembedahan dan kemoterapi.
- Pembedahan melibatkan penyingkiran kedua ovari, tiub falopian, uterus dan mana-mana kawasan sekitar yang terdapat sel kanser. Sekiranya anda didiagnos kanser pada peringkat awal, anda mungkin perlu membuang sahaja ovari dan tiub falopian yang terjejas. Anda masih mampu mendapat anak selepas itu.
- Kemoterapi diperlukan selepas pembedahan bagi membuang sebarang lebihan sel kanser. Ubatan kemoterapi boleh diberikan melalui intravena atau secara terus ke dalam ruang abdomen atau keduanya. Wanita yang menghidap kanser ovari lanjutan memerlukan kemoterapi sebagai rawatan permulaan.
MAKANAN YANG WAJIB DIELAKKAN:
1. Alkohol
Kemoterapi merupakan salah satu cara untuk merawat penyebaran kanser ovari. Oleh hal yang demikian, hati merupakan organ terpenting untuk memetabolismekan semua toksin yang berpotensi dalam aliran darah anda.
Kerana itu, anda perlu mengelak daripada mengambil alkohol untuk mengurangkan kesan sampingan kemoterapi. Jika anda mengambil alkohol, ia boleh menyebabkan tekanan yang berlebihan pada hati dan menyukarkan hati untuk memproses ubatan kemo.
Selain itu, rasa mual atau kesan sampingan gastrousus lain boleh meningkat kerana alkohol. Ia juga mungkin menjejaskan ubatan tertentu yang anda ambil bersama rawatan kemo. Sebaiknya anda perlu elakkan terus pengambilan alkohol sepenuhnya.
2. Daging
Apabila menjalani rawatan kanser, anda patut elakkan mengambil terlalu banyak daging. Ini kerana daging mempunyai tahap lemak tepu yang tinggi dan tidak mengandungi banyak serat.
Khususnya daging merah seperti daging lembu, tidak perlu wujud dalam diet pemakanan anda. Daging yang diproses juga tidak patut dimakan. Kebanyakannya mengandungi sodium nitrite yang kerap dijumpai dalam sosej, yang dianggap tidak baik untuk kanser. Selain itu, menghadkan pengambilan daging diproses dan lemak tepu turut mendatangkan manfaat kepada hati.
3. Makanan yang dimasak bersuhu tinggi
Pesakit kanser ovari tidak patut mengambil makanan yang dimasak pada suhu yang tinggi. Hal ini adalah kerana berlakunya peningkatan kehadiran karsinogen, yang boleh menjejaskan lagi kesihatan diri anda.
Sebaliknya, anda perlu menyediakan makanan dengan cara yang sihat seperti mengukus, membakar, mendidih atau sauté. Mengoreng adalah satu cara masakan yang tidak sihat. Jika anda masih suka memanggang, makanan anda harus dimasak pada suhu yang rendah untuk mengelakkan wujudnya karsinogen.
4. Gula ditapis
Pertumbuhan kanser berkembang dengan mengharapkan kandungan gula dalam darah. Oleh itu anda harus elakkan makanan manis yang mempunyai kandungan karbohidrat ringkas.
Memakan makanan seperti ini boleh menyebabkan saluran darah anda dipenuhi dengan tenaga kimia yang diperlukan sel kanser. Anda perlu memakan diet rendak glisemik, terutamanya yang tidak mempunyai kandungan gula ditapis apabila anda mempunyai kanser ovari.
Makanan yang anda makan sangat mempengaruhi perkembangan kanser dalam tubuh badan anda. Ia boleh jadi makanan yang membuatkan anda menjadi semakin teruk, ada juga sesetengah makanan yang membantu anda mengelakkan penyakit ini dari teruk membiak. Pilihlah diet yang bersesuaian kesihatan anda. Ini akan membantu anda mendapat kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
Sumber: Hello Doktor