Siakap Keli

”Tak Pernah Sesempit Ini, Seolah-Olah Cahaya Ramadan Dah Hilang”, Aktivis Kongsi Realiti Pilu Puasa Di Gaza

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ucapan-ucapan di bawah mungkin biasa kita dengar di mana-mana sahaja. Sama ada ketika berjalan di bazar, makan di kedai atau boleh jadi ketika menjamu selera bersama-sama ahli keluarga.

“Eei, tak sedap la nasi ni. “

“Tawarnya air, taknak lah minum..”

“Lauk semalam ni.. Buang je lah..”

Tahukah anda, rakyat Malaysia membuang 3,000 tan makanan yang boleh dimakan setiap hari?

Perkara ini tidak berlaku di Gaza. Bagaimana nak membazir makanan apabila mereka terpaksa panaskan makanan yang sama untuk berbuka setiap hari?

Justeru, mari kita muhasabah diri dengan kisah yang dikongsi oleh seorang aktivis Malaysia di Gaza, Nadir Al-Nuri.

MONOLOG RAMADHAN DARI BUMI GAZA

Sejak 6 tahun berada di Gaza, tak pernah saya merasai Ramadhan sesempit ini.

Cahaya Ramadhan seperti hilang, serinya sudah tidak ada.

Kalau beberapa tahun sebelum ini, setiap kali menjelang Ramadhan, seluruh bandar akan hidup dengan lampu yang dihias indah, anak-anak yang bermain di buaian ‘khas’ yang dipasang setiap kali bulan ini menjelang dan peniaga ‘qatayef’ dan minuman memenuhi jalanan mencari rezki.

Sesekali anak muda membakar mercun, mengingatkan saya kepada kemeriahan bulan ini disambut di kampung-kampung kita di Malaysia.

Letupan bom dan dentuman roket

Tetapi tahun ini hambar.

Ramadhan dimulakan dengan letupan bom dan dentuman roket. Anak-anak takut untuk keluar meninggalkan rumah. Para peniaga tidak membuka kedai kerana tahu penduduk tidak punya wang pun untuk membeli makanan bukan asasi seperti kuih dan air berwarna-warni.

Sebab itulah tarawih malam pertama di Masjid Amin Muhammad itu terasa cukup sayu.

Seolah-olah aura munajat sang hamba yang takut, pasrah dan berharap, bergantungan di udara – kuatnya sampai hampir dapat dihidu.

Manakan tidak, setiap minit masjid bergegar dengan letupan roket pesawat F16 milik Israel yang mensasarkan kawasan-kawasan berdekatan.

Masjid tempat kami menunaikan solat setiap kali perang akan menjadi sasaran wajib tentera Israel.

“Kami tidak perlu memaksa khusyuk seolah-olah ia pengabdian yang terakhir kepada Allah, kerana realiti ia benar-benar menjadi dua rakaat yang terakhir sangat dekat.”

Tetapi pelik, masjid tetap penuh sehingga melimpah ke luar.

Seakan-akan penduduk berkata, kalau malam ini malamku yang terakhir di bumi ribat, kalau malam ini nyawaku dicabut, baguslah di sini aku bersemadi di balik timbunan runtuhan masjid.

Sekumpulan remaja bermain di runtuhan masjid di Gaza. Masjid Al-Taqwa, Julai 2009. (Gambar: Electronic Intifada)

Esoknya saya keluar menziarahi tempat-tempat yang telah dibom semalam.

Penduduk berkumpul, menepuk bahu satu sama lain, mengucapkan alhamdulillah kerana engkau masih selamat.

Tidak ada senyuman, tidak ada gelak ketawa.

Bagaimana hendak tersenyum apabila puluhan keluarga terbuang ke jalanraya setelah kehilangan tempat tinggal?

Bagaimana hendak ketawa dan berjenaka apabila ada peniaga yang harta mereka bernilai jutaan dollar dimusnahkan setiap masa?

Iftar di Gaza. (Gambar: Electronic Intifada)

Tahukah kalian, keluarga-keluarga ini mengumpul duit berpuluh tahun supaya dapat membeli rumah tempat melindungi anak-anak dan keluarga? Kau tahukah bergenerasi para peniaga ini membanting-tulang untuk mampu hidup senang?

Tahukah kalian, ada peniaga yang baru sahaja siap menyusun pakaian bernilai 70 ribu dollar untuk dijual mendekati Hari Raya, tetapi tak lama selepas beliau meninggalkan kedai setelah sehari bekerja, ia dibom dan segala penat-lelahnya menjadi abu berterbangan dalam sekelip mata!

Sebab itu sumbangan kalian penting.

Ia bukan semata isu memberi makan, bukan juga isu menyarung pakaian.

Ia isu memberikan HARAPAN dan KEKUATAN, tatkala seluruh dunia meninggalkan mereka keseorangan.

Tiga saudara berdiri dalam runtuhan rumah mereka di sebuah perkampungan di Gaza.(Gambar: AFP/Thomas Coex)

Setiap kali Lori Kebajikan kami sampai ke satu-satu kawasan, ia diserbu puluhan penduduk walaupun pek makanan yang kami bawa sangat terhad dan terbatas.

Setiap kali kami mengagih juadah berbuka puasa, anak-anak kecil ini akan tersenyum kegirangan kerana akhirnya akan dapat menikmati ayam setelah lama kempunan.

Demi Allah, baru semalam saya menziarahi sebuah keluarga yang memanaskan juadah yang sama sejak hari pertama untuk dibuat berbuka pada hari ketiga!

Demi Allah baru semalam saya menyampaikan bantuan sewa rumah kepada keluarga dan ahli keluarga menangis teresak-esak kerana masih ada yang punya belas kasihan di dalam jiwa!

Demi Allah, baru semalam saya bertemu pasangan suami isteri yang setiap hari bergaduh dan bertelagah kerana tidak ada makanan untuk disuap ke mulut anak yang diuji kecacatan dan kanser!

Kegilaan apakah ini?

Dunia apakah yang sedang kita diami?

Lihatlah ke meja makan kalian di waktu berbuka yang penuh dengan 1001 juadah berbeza! Tidakkah kita berdosa apabila ada umat yang lemah tidak berdaya untuk bangun beribadah sedang kita lemah melangkah ke tarawih kerana kekenyangan?

Kezaliman apakah ini, apabila ramainya umat Islam yang ada, tetapi masih ada yang terpaksa tidur dalam keadaan lapar dan dahaga!

Seorang kanak-kanak menangis setelah kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel. (Gambar: Reuters)

Dan kalau kalian, punya rasa belas kasihan yang sama, kami merayu supaya kalian bergerak bersama-sama.

Sebahagian harta kita adalah hak umat yang mahu kenyang.

Sebahagian doa kita adalah hak umat yang mahu senang.

Untuk kami di Persatuan Cinta Gaza Malaysia, kami mensasarkan kutipan sumbangan Ramadhan sebanyak RM2 juta.

Ia nampak besar, tetapi janji saya, setelah Ramadhan tidak akan ada yang berbaki di dalam akaun bank NGO, melainkan yang akan digunakan untuk projek jangka panjang peluang pekerjaan dan biasiswa pendidikan.

Malah, kalian akan tahu setiap sen ke mana akan digunakan.

Kami hanya laluan untuk kalian menyuap makan ke mulut anak Palestin yang memerlukan, kami hanya jambatan untuk kalian pijak agar sampai ke syurga idaman.

Salurkan sambungan kalian ke akaun rasmi Persatuan Cinta Gaza Malaysia,

Maybank 5648 1050 7826

Maybank 5648 1050 7826

Maybank 5648 1050 7826

Dan biarkan airmata menitis, agar ia menjadi saksi hati yang masih belum mati di bulan peduli ummah ini.

Sumber: Nadir Al-Nuri

Amira

Love yourself.