Siakap Keli
Gambar: dailymirror.lk

Hati-Hati Guna Facebook Dating, PDRM Ingatkan Pengguna Elak Jadi Mangsa Penipuan

Seperti ramai sudah sedia maklum, Facebook kini sudah mempunyai satu fungsi yang membolehkan pengguna laman sosial tersebut untuk mencari jodoh. Fungsi terbaru tersebut dilihat mendapat sambutan yang luas kerana ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang menggunakannya untuk mencari pasangan mereka.

Walau bagaimanapun, orang ramai perlu sentiasa berwaspada tentang ancaman yang wujud dalam dunia internet. Pelbagai taktik serta cara boleh digunakan untuk memperdaya mangsa dengan meminta apa-apa sahaja yang mereka inginkan.

Justeru daripada itu, sebagai tanggungjawab pihak polis untuk mencegah jenayah, ikuti perkongsian yang dikongsi oleh Polis Diraja Malaysia mengenai panduan keselamatan ketika menggunakan fungsi terbaru Facebook iaitu Facebook Dating ini untuk mengelakkan diri anda menjadi salah satu mangsa penipuan seperti yang sudah banyak terjadi di Malaysia sebelum ini;

 

PANDUAN KESELAMATAN PENGGUNAAN FACEBOOK DATING

Ada di kalangan netizen yang sudah menggunakan fungsi Dating di dalam Facebook? Macam mana, okay ke tidak?

Secara umumnya, fungsi Dating ini dibangunkan bagi membantu pengguna Facebook mencari pasangan atau jodoh melalui dalam talian. Fungsi ini terbina terus di dalam Facebook tanpa perlu memuat turun aplikasi secara berasingan.

Apabila fungsi Dating ini diaktifkan, anda dapat melihat cadangan pasangan yang dipamerkan mengikut spesifikasi pengguna itu sendiri dalam lingkungan jarak maksimum 100km.

Apa yang ingin kami tekankan bukan bagaimana ia berfungsi, tetapi langkah-langkah keselamatan yang perlu dititik beratkan jika anda bercadang untuk menggunakannya sebagai alternatif mencari pasangan. Antaranya adalah:

1. Jangan dedahkan nama penuh, maklumat kewangan, alamat, nombor telefon, tempat bekerja atau apa-apa sahaja informasi semasa anda sedang berbual dengan seseorang yang baharu dikenali. Halang atau lapor segera sekiranya terdapat individu yang meminta maklumat peribadi anda.

2. Abaikan permintaan sesiapa yang menginginkan anda untuk menghantar wang atau menghulurkan bantuan derma.

3. Jangan terlalu mempercayai maklumat yang dipaparkan oleh mana-mana individu di profil Facebook Dating. Selidik terlebih dahulu latar belakang mereka sekiranya bercadang untuk bersemuka.

4. Maklumkan kepada keluarga atau kenalan mengenai perancangan janji temu anda dengan menyatakan lokasi dan masa anda akan pulang semula ke rumah.

5. Elakkan bertemu janji di kawasan yang sunyi. Sebaiknya di kawasan terbuka dan di khalayak ramai.

6. Sekiranya dari awal lagi anda berasa tidak selesa atau selamat untuk berjumpa dengan individu berkenaan, batalkan sahaja niat itu! Gerak hati kadang kala mampu menyelamatkan kita.

P/S: Kepada yang meletakkan gambar motor atau rim tayar di profil Facebook Dating, macam manalah Admin nak berkenalan dengan anda. Alahai.

Sumber: PDRM

Aqmal Ezany

I write what is right