Siakap Keli

Seolah-Olah Di Luar Negara, Laluan Bawah Jambatan Angkat Terengganu Bakal Dibuka Menjelang Raya

Ramai yang tidak sabar untuk melihat Jambatan Angkat (drawbridge) Terengganu dibuka untuk orang ramai.

Jambatan yang menyambungkan Muara Sungai Terengganu dengan Muara Selatan Pusat Bandaraya ini akan dibuka sebelum hari raya Aidilfitri ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan pembukaan tersebut melibatkan laluan bahagian bawah sahaja manakala pembukaan bahagian menara belum dibuka kepada orang ramai.

Bahagian atas jambatan tersebut merangkumi menara dan tempat makan belum dibuka kepada orang ramai memandangkan kerajaan masih mencari sesiapa yang berminat dan mampu menguruskannya.

(Gambar: Bernama)

“Tentu sekali kerajaan berhasrat memilih pihak yang berupaya berbuat demikian sebab ini adalah ikon negeri Terengganu,” ujar beliau kepada pemberita di Wisma Darul Iman.

Jambatan yang menelan belanja RM 248 juta tersebut mempunyai kepanjangan 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut. Projek ini merupakan elemen utama pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Menurut beliau, anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TI) akan mengendalikan jambatan tersebut pada masa hadapan, mengambil alih khidmat perunding projek dari negara China.

Buat masa ini, beberapa orang berpengalaman sebagai perunding ditugaskan untuk berkongsi ilmu teknologi kepada pihak TI bagi menguruskan drawbridge tersebut.

Jambatan tersebut hampir siap sepenuhnya dan akan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai tidak lama lagi.

Ramai pengunjung berbuka puasa berlatarbelakangkan Jambatan Angkat Terengganu.(Gambar: Fadzil Ismail)

Sumber: Teganu Kita

Amira

Love yourself.