Siakap Keli

(Video)”Maaf Kerana Membuka Peti Kalian Tanpa Izin,” Aktivis Ini Ceritakan Kisah Pemuda Al-Qassam Yang Ramai Tidak Tahu

Nama Briged Al-Qassam tidak asing lagi apabila berbicara tentang pergolakan antara Palestin dengan Israel.

Dikenali dengan imej berani dan menggerunkan, rupanya ada sisi ahli briged ini yang kita tidak tahu.

Berikut merupakan perkongsian oleh Nadir Al-Nuri, aktivis Malaysia di bumi Gaza tentang pengalamannya bersama briged tersebut.

Ramai yang mengenali Briged Izzuddin Al-Qassam sebagai pemuda-pemuda misteri yang bertaqwa dan bertanggungjawab membela bumi Palestin daripada musuh-musuh lainnya.

Yang jarang orang tahu ialah sisi kemanusiaan yang ada pada Briged Al-Qassam ini.

Pemandangan seperti ini di Gaza khususnya pada bulan Ramadhan bukanlah sesuatu yang janggal.

Malah ‘engagement’ di antara para pejuang ini dengan masyarakat setempat sangat baik.

Saya ingat antara lainnya, mereka ini yang lengkap beruniform turun membantu mangsa banjir di kawasan Syeikh Ridhwan, bandar Gaza beberapa tahun lepas.

Kesungguhan mereka menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam rumah, dan menyelamatkan harta benda menjadi butir bicara penduduk.

Menghormati harta awam

Gambar hiasan. (Gamabr: Pond5)

Mereka juga terkenal sangat menghormati harta awam hatta di waktu peperangan, misalnya pasca perang terakhir apabila media merakamkan nota-nota di rumah penduduk yang menjadi kubu sementara mereka dengan tulisan

‘Maaf kerana membuka peti kalian tanpa izin, kami telah menggunakan beberapa biji telur dan beberapa keping roti, pohon menghubungi nombor sekian sekian untuk kami menggantikan apa yang telah dimakan.’

Malah, seorang peniaga menunjukkan nota yang ditinggalkan pejuang di kedainya, yang mencatat setiap barang yang diambil daripada kedainya, termasuk yang berharga seringgit agar dibayar harganya oleh Briged pasca perang!

Bayangkan, mereka boleh sahaja menggunakan barangan dan makanan yang ada, lebih-lebih lagi di kawasan sempadan yang memang ditinggalkan penduduk, setelah berhari-hari tidak ada bekalan makanan sampai, dan pastinya akan dibenarkan penduduk, tetapi hal halal dan haram sangat dititik-beratkan.

Begitulah serba sedikit pengalaman mengenali Briged kesayangan rakyat ini.

Yang pasti, sayang masyarakat kepada mereka, asasnya dipasakkan oleh dekatnya mereka kepada Allah dan kesatuan matlamat pembebasan yang mahu dicapai.

Satu aspek menarik yang perlu kalian ingat ialah para pemuda ini juga hidup dalam susah sempit masyarakat, mereka juga bekerja dan ke universiti di waktu siang dan mereka juga berhempas-pulas meneruskan kehidupan di bumi ribat.

Terima kasih duhai pejuang, terima kasih kerana menjadi benteng mempertahankan bumi milik umat Islam!

Kiriman tersebut diakhiri dengan permintaan Nadir kepada rakyat Malaysia agar terus menyumbang dan memberi sokongan kepada projek-projek Ramadhan di Gaza.

Bagi sesiapa yang ingin menyumbang, bolehlah salurkannya di akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia di nombor tertera;

Maybank 5648 1050 7826

“Ramadhan semakin cepat berlalu, jangan biarkan ia pergi tanpa sempat kita mengumpul bekalan amal yang mencukupi!”

Sumber: Nadir Al-Nuri

Amira

Love yourself.