Siakap Keli
Gambar: Kerrang!, Rolling Stone

Pernah Dipakai Ketika Penggambaran Terakhir Bersama Nirvana, Kardigan Kurt Cobain Dilelong Sehingga RM300,000

Sehelai Kardigan yang pernah dipakai oleh Kurt Cobain semasa sesi penggambarannya yang terakhir bersama kumpulan Nirvana telah dijual dengan harga sebanyak USD75,000 (RM 313,821.59) pada satu sesi lelongan yang diadakan pada hari sabtu lalu.

Kardigan yang dipakai oleh Kurt Cobain semasa sesi penggambaran pra-In Utero pada tahun 1993 itu telah dilelong dengan harga pada mulanya dianggarkan dijual dalam harga diantara USD10,000 dan USD20,000.

Gambar: Rolling Stone

Gambar Kurt Cobain memakai kardigan itu, yang ditangkap oleh jurugambar Jesse Frohman, telah dipaparkan dalam buku foto Kurt Cobain: The Last Session.

“Sesi penggambaran itu pada mulanya dirancang diadakan di Central Park di bandar New York, namun disebabkan keadaan kesihatan Kurt Cobain yang tidak sihat beberapa jam sebelum sesi penggambaran itu berlangsung,  mereka terpaksa mengubah lokasi penggambaran itu ke tingkat bawah tanah hotel dimana tempat kumpulan muzik Grunge yang terkenal itu tinggal,” terang jurulelong tersebut berkenaan dengan kardigan tersebut.

“Kurt Cobain muncul tiga jam kemudiannya untuk memulakan sesi penggambaran bersama kumpulannya. Setibanya dia disitu, dia terus meminta sebuah baldi kerana berasa mual.” Tambahnya lagi.

Courtney Love yang juga isteri kepada Kurt Cobain dilaporkan telah memberi kardigan itu kepada seorang kenalan yang rapat semasa di majlis pengebumian suaminya itu. Walaupun begitu, ianya masih tidak dapat dipastikan sama ada kenalan itukah yang menjual kardigan itu ataupun pemilik kardigan itu sudah bertukar tangan.

Pada tahun 2015, Kardigan hijau milik Kurt Cobain yang dipakainya ketika persembahan akustik kumpulan Nirvana di MTV Unplugged dilaporkan telah berjaya dilelong dengan harga sebanyak USD137,000 (RM572,899.71)

Gambar: Loudwire

Senarai lagu-lagu yang ditulis sendiri oleh Kurt Cobain menggunakan pen marker hitam pada sekeping pinggan kertas ketika di sebuah konsert yang dilangsungkan di Washington, D.C, pada April 1990 turut berjaya dijual dengan harga USD23,000 (RM96,182.92), lebih 10 kali ganda daripada nilai yang dianggarkan pada mulanya.

Gambar: Tumblr

“Sebelum memulakan persembahannya, Kurt Cobain telah memakan beberapa keping piza, kerana tidak dapat mencari kertas ketika itu, dia bertindak menulis senarai lagu yang bakal dimainkan kumpulannya pada persembahan itu di atas sekeping pinggan kertas tempat dia gunakan untuk menjamah pizanya itu,” ujar pusat lelongan berkenaan dengan barang itu.

Antara barangan lain yang dilelong oleh pusat lelongan itu pada hari yang sama juga adalah sebuah gitar akustik yang pernah digunakan oleh Prince yang digunakan dalam persembahannya berjaya dijual dengan harga USD89,000 (RM372,220.93), sebuah jaket hitam yang dipakai oleh raja pop Michael Jackson ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi Nelson Mandela pada tahun 1996 berjaya dijual dengan harga USD76,000 (RM317,855.30) serta tulisan tangan dan lirik lagu “Blowin in the Wind” yang ditandatangani sendiri oleh Bob Dylan berjaya dijual dengan harga USD70,000 (RM292,806.99)

Sumber: Rolling Stone 

Aqmal Ezany

I write what is right