Siakap Keli
Gambar Hiasan

Komposisi Makanan: Naikkan Mood Atau Sekadar Naikkan Badan? Ini Penjelasannya

Stress? Makan. Sedih? Makan. Kita sering menjadikan makanan sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah tekanan emosi.

Coklat dan manisan seperti ais krim sering dikaitkan dengan kemampuan untuk meningkatkan mood seseorang yang sedang bersedih.

Gambar Hiasan

Benarkah dakwaan itu? Atau kita hanya mempercayai mitos semata-mata?

Bagi menjelaskan situasi tersebut, Hello Doktor telah menulis sebuah artikel berkisar tentang kandungan di dalam makanan yang dikatakan boleh memberi kesan kepada mood seseorang.

Berikut merupakan perkongsiannya.

Makanan berkarbohidrat

Trytophan merupakan satu-satunya bahan yang menyebabkan karbohidrat dapat memberi kesan kepada mood seseorang. Fungsi utama sebatian kimia ini adalah untuk merangsang otak menghasilkan lebih serotonin, bahan yang meningkatkan mood seseorang dan membuatkan seseorang berasa gembira.

Kajian menunjukkan kekurangan serotonin boleh menyebabkan kelesuan dan depresi. Anda dinasihatkan untuk mengambil karbohidrat bersumberkan sayur, buah-buahan atau gandum penuh.

Asid lemak Omega-3

Asid lemak Omega-3 poli tak tepuĀ  (PUFA) kebanyakannya ditemui di dalam ikan dan walnut. Ia berfungsi untuk mengawal neurotransmiter bagi membantu mengawal impak depresi seseorang. Walaupun begitu, penyelidik menyatakan sumbangannya dalam mengawal depresi tidak begitu signifikan. Namun, sebatian kimia ini penting untuk dimasukkan ke dalam diet bagi manfaat kesihatan yang lain.

Antara makanan yang mengandungi Omega-3. (Foto: Good Glow)

Sarapan satu kemestian

Penyelidik berkata, mengambil sarapan secara berkala dapat membantu menguatkan ingatan, membekalkan tenaga sepanjang hari dan membantu seseorang menjadi tenang. Kajian mendapati orang yang tidak mengambil sarapan akan menjadi cepat penat dan gusar. Sarapan yang terbaik mengandungi serat, protein tanpa lemak dan gandum penuh.

Makanan kaya dengan selenium

Kajian ke atas 16 peserta mendapati mereka yang mengambil 200 mikrogram selenium setiap hari berjaya mengatasi depresi. Hal ini membuktikan kekurangan selenium dalam makanan boleh menyebabkan kemurungan. Antara makanan yang mengandungi selenium ialah tiram, tuna, cendawan dan daging.

Tiram merupakan makanan laut yang mengandungi selenium. (Foto: Boston Sword Tuna)

Vitamin D

Selain karbohidrat, vitamin D terbukti mampu meningkatkan level serotonin di dalam otak. Jumlah ideal pengambilan vitamin D tidak dinyatakan oleh pakar, namun anda dinasihatkan untuk mengambil 600 IU vitamin D setiap hari.

Sardin, sumber Omega-3 dan vitamin D yang murah dan berkhasiat. (Foto: Bon Apetit)

Kesimpulannya, makanan sememangnya mempunyai kesan terhadap kesihatan fizikal dan psikologi seseorang. Justeru, jika anda mengalami stress, kebimbangan atau kemurungan, pilihlah makanan yang tepat dalam kuantiti yang betul bagi mengimbangi kandungan kimia sesuai dengan keperluan tubuh.

Jangan mood tidak meningkat, tapi lemak pula yang bertingkat.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.