Siakap Keli

”Ada Banyak Perkara Lagi Penting Dari Bola”, Klopp Dedah Toleransi Liverpool Terhadap Pemain Muslim Dalam Kelab

Pengurus Liverpool berbangsa Jerman, Jurgen Klopp berkata dia tidak mempunyai masalah dan menghormati pemain-pemain Muslim dalam kelab seperti Sadio Mane, Mohamed Salah dan Naby Keita untuk beribadah, terutamanya ketika di bulan Ramadan.

Klopp diajukan persoalan berkenaan dalam satu sidang media ketika bersama-sama skuad kendaliannya dalam persiapan terakhir menjelang final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Madrid bertemu satu lagi wakil Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspurs.

Katanya, dia selama ini menghormati penganut agama Islam dan sangat mengagumi prestasi yang dipamerkan oleh pemain-pemaian Muslim tidak kira ketika di bulan Ramadan ataupun sebaliknya.

”Tiada masalah jika pemain saya mahu berpuasa, saya menghormati agama mereka. Mereka sangat mengagumkan dan sentiasa memperagakan permainan yang menakjubkan biarpun sedang berpuasa.

”Malah, ada ketikanya Salah dan Mane sebelum perlawanan menunaikan solat terlebih dahulu. Bagi saya, dalam hidup terdapat banyak perkara sebenarnya lebih penting daripada bola sepak,” katanya.

Malah, ketika final UCL tahun lepas dimana Liverpool bertemu dengan Madrid di Kiev, Klopp juga ditanya soalan yang sama memandangkan perlawanan akhir turut berlangsung ketika Ramadan.

”Soal agama adalah soal peribadi, itu cara saya melihatnya. Tiada apa yang perlu diperkatakan. Anda akan melihat mereka di atas padang latihan dan dalam perlawanan, penuh dengan tenaga,” kata Kloop ketika itu.

Liverpool sebelum ini melakarkan kejutan apabila berjaya menterbalik defisit 3 jaringan dengan membenam cabaran gergasi La Liga, 4-0, ketika kelab berkenaan bertandang ke Anfield dalam perlawanan Separukh Akhir 2 UCL.

Salah dan Mane adalah antara tonggak utama Liverpool sejak dua musim lepas dalam membantu Klopp memburu kejuaraan pertama miliknya bersama-sama skuad The Reds itu.

Sumber: Egypt Independent,  Liverpool Echo

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.