Siakap Keli
Gambar: hafizsatar.blogspot.com

Hentikan Tabiat Suka Pandu Perlahan Di Lorong Kanan

Bulan ramadan telah hampir sampai ke penghujungnya, dan ini bermakna bulan Syawal pula yang bakal menjelma. Pasti ada diantara kita yang merasa sedih kerana akan meninggalkan bulan ramadan yang mulia ini dan ada juga yang gembira kerana tidak sabar untuk meraikan hari kemenangan umat islam di seluruh dunia selepas sebulan berlumba-lumba melakukan ibadat.

Kebanyakan daripada kita pastinya sudah merancang hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri ini dengan soap dan di mana. Walau apapun jawapannya, anda haruslah sentiasa berhati-hati terutamanya warga perantauan di kota yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing.

Segala persiapan serta perancangan untuk pulang ke kampung halaman perlulah diatur dengan terancang terlebih dahulu bagi mengelakkan timbulnya masalah semasa perjalanan.

Bagi yang memilih untuk memandu bagi pulang ke kampung halaman, anda dinasihati supaya sentiasa memandu mengikut papan tanda yang disediakan di lebuhraya yang digunakan.

Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya kemalangan atau kesesakan buat pengguna lebuhraya yang lain. Apabila hendak memotong, pastikan kereta anda berada di lorong yang sepatutnya. Dan jika anda mahu memandu secara perlahan, pandulah di lorong yang paling kiri sekali. Bertimbang rasalah terhadap pengguna jalanraya yang lain.

Ikuti sedikit pesanan yang dikongsi oleh PDRM berkenaan dengan pemanduan secara perlahan di lorong kanan serta impaknya yang akan berlaku.

#JomBeringat

HENTIKAN TABIAT SUKA PANDU PERLAHAN DI LORONG KANAN

“Biar lambat, asalkan selamat” – Pernah dengar peribahasa ini? Ia membawa maksud yang baik, namun penggunaannya perlulah bertempat.

Sebagai contoh, anda memandu ‘lambat seperti seekor kura-kura’ di bahagian lorong laju – Adakah ia selamat? Mungkin ya pada anda, tetapi berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Memandu perlahan pada kelajuan 50km sejam di laluan kanan sedangkan had laju yang dibenarkan ialah 90km sejam, bukan sahaja menyusahkan pengguna lain, malah boleh menyebabkan kesesakan selain mengundang risiko kemalangan jalan raya.

Pemandu di belakang tidak dapat meningkatkan kelajuan ke had maksimum yang dibenarkan, kerana terpaksa mengekori kenderaan hadapan yang sedang menikmati pemanduan santai ibarat berada di tepi pantai lagaknya.

Sikap tidak prihatin untuk beralih ke lorong kiri bagi memberi laluan mereka yang memandu laju itu, boleh menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan membangkitkan kemarahan, lebih-lebih lagi ketika waktu puncak.

Kemalangan juga boleh berlaku apabila kenderaan yang datang secara laju di lorong kanan terpaksa menekan brek secara mengejut ketika hampir dengan pemandu ‘kura-kura’ di hadapannya kerana tidak ‘senada’ kelajuan.

Pengguna lain juga terpaksa mengambil alternatif dengan memotong dari lorong kiri dan ia ternyata boleh membahayakan nyawa mereka.

Ingat, lorong kanan adalah untuk kenderaan yang ingin memotong. Patuhi papan tanda “IKUT KIRI JIKA TIDAK MEMOTONG” sekiranya anda tidak bercadang untuk memintas kenderaan lain.

Memandu juga mestilah mengikut had laju yang ditetapkan. Bukan memandu melebihi had laju sahaja membahayakan pengguna jalan raya, tetapi juga memandu terlalu perlahan. Amalkan sikap saling bertoleransi, bertolak ansur dan bertimbang rasa sesama pengguna yang lain.

Gambar: FB PDRM

Sumber: FB PDRM

Aqmal Ezany

I write what is right