Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: @doamuslims/BBC)

(Video)”Ayah, Bacakan Aku Kisah Tentang Syurga”, Ayah Ini Berikan Ucapan Penuh Emosi Di Hari Pengebumian Anaknya

Siapa sahaja yang tidak sedih apabila kehilangan orang yang disayangi, terutamanya ahli keluarga kita sendiri. Namun, saya percaya anda pernah mendengar bahawa ibu bapa yang kehilangan anak, sedihnya lebih teruk berbanding anak-anak yang kehilangan ibu bapa.

Itulah yang dirasai oleh Dr Eyad al-Qunaibi yang berasal dari Jordan, apabila beliau kehilangan puteri kesayangannya yang dinamakan sebagai Sarah, baru-baru ini.

Sarah telah meninggal dunia dipercayai akibat kanser dan semasa majlis pengebumian beliau, bapanya telah memberikan satu ucapan yang menyayat hati sekaligus membuatkan hadirin turut beremosi.

Antara yang diperkatakan oleh Dr Eyad ialah bagaimana Sarah memintanya untuk membacakan ayat al-Quran yang mengisahkan tentang Syurga dan keindahannya.

Selain itu, puterinya itu juga pernah diserang kesakitan berpunca daripada penyakit yang dihidapi sebelum ini. Namun, apa yang keluar dari mulut anaknya ketika itu hanyalah kata-kata pujian kepada Allah swt.

Menurut beliau lagi, Sarah telah memudahkan urusan mereka sekeluarga, di mana kini mereka hanya perlu berbuat baik untuk membolehkan mereka ‘bertemu’ semula di Syurga satu hari nanti.

Dr. Eyad menambah, dia dan keluarga benar-benar bersyukur dan redha dengan pengakhiran riwayat Sarah yang menurutnya sangat baik dan mulia.

Beliau juga sempat berpesan kepada hadirin yang melawat jenazah puterinya itu agar berusaha memperbaiki dan membawa semua orang yang disayangi ke jalan Allah swt sebelum kematian mereka sekiranya mahu berjumpa mereka di Akhirat yang abadi kelak.

Walaupun Dr. Eyad kelihatan sangat tenang dalam video itu, namun tidak siapa tahu kesedihan yang dirasainya lebih-lebih lagi selepas kehilangan anak yang sangat dekat dengan Maha Pencipta.

Semoga kita akan dapat memiliki kekuatan seperti beliau serta anak yang soleh dan baik seperti Sarah satu hari nanti.

Sumber: Twitter @doamuslims

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi