Siakap Keli
Gambar : Bernama

Lembaga Disiplin PKR Perlu Siasat Siapa Dalang Disebalik Penyebaran Video Seks – Azmin Ali

Kuala Lumpur : Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menyiasat dalang di sebalik penyebaran video seks yang dikaitkan dengan anggota parti itu baru-baru ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata jika parti mahu terus kekal relevan dan diterima rakyat, kepimpinan PKR perlu berani melakukan sesuatu berhubung perkara itu.

“Saya telah melakukan peranan saya… saya telah membuat laporan polis…biar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas tanpa sebarang campur tangan atau kenyataan politik daripada mana-mana pihak kerana saya mahu mempastikan proses ini berjalan secara profesional dan telus,” katanya.

Mohamed Azmin, yang dikaitkan dengan rakaman video berkenaan, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri kawasan Gombak Setia di sini hari ini.

Ketika ditanya tindakan beberapa pemimpin PKR yang dilihat memberi sokongan terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang turut dikaitkan dengan video itu, Mohamed Azmin berkata pimpinan PKR perlu melihat perkara berkenaan.

“Saya serahkan kepada anda untuk membuat keputusan dan mentafsirkan tetapi sudah pasti ini adalah sesuatu yang membimbangkan dan kepimpinan mesti mengambil keputusan yang berani untuk menyiasat,” kata Timbalan Presiden PKR itu.

Mohamed Azmin berkata beliau turut dimaklumkan bahawa penyebaran video seks itu tidak berlaku menerusi platform media sosial seperti Facebook dan Instagram bagi mengelak identiti pelaku  dan alamat protokol internet dikesan.

Beliau berkata sebaliknya ia disebar menerusi kumpulan WhatsApp yang mempunyai nombor-nombor ketua cabang dan juga pemimpin peringkat bawahan PKR.

Mohamed Azmin berkata beliau sendiri tidak mempunyai nombor telefon mereka yang berada di dalam kumpulan WhatsApp berkenaan.

Mengulas pemerhatian sesetengah pihak bahawa video itu disebarkan tidak lama selepas Latheefa Koya dilantik mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anggota Parlimen Gombak itu berkata itu hanyalah persepsi.

Ditanya sama ada beliau telah dihubungi pihak polis bagi memberi keterangan, Mohamed Azmin memberi jaminan beliau bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes itu.

“Pejabat saya memaklumkan bahawa mereka ada menghubungi saya tetapi saya hendak ke Pulau Pinang hari ini, tetapi saya sudah tentu boleh ditemui  esok atau pada bila-bila masa yang sesuai untuk pihak berkuasa.” katanya.

Beliau turut bersyukur dengan sokongan keluarganya dalam menghadapi kes penularan video lucah itu.

Sumber ; Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.